Search This Blog

Monday, December 19, 2011

Serah barang kemas selepas diugut penyamun

MARANG 18 Dis. - Seorang pekedai runcit tiada pilihan melainkan terpaksa menunjukkan kesemua barang kemas dan wang simpanan kepada empat penyamun yang mengugut untuk melarikan anak gadisnya selepas memecah masuk rumah mereka di Kampung Kelulut, dekat sini awal pagi semalam.

Berikutan kejadian pukul 3 pagi itu, mangsa, Hawa Bakar, 53, kerugian barang kemas dan wang tunai kesemuanya bernilai RM80,000 setelah dilarikan kesemua suspek yang bersenjatakan batang kayu dan besi.

Hawa memberitahu, dia diugut suspek agar menunjukkan tempat simpanan barang kemas dan wang tunai jika tidak mahu anak gadisnya berusia 19 tahun dilarikan.

"Saya kemudian beritahu mereka barang kemas serta wang hasil perniagaan runcit disimpan di dalam beg tangan yang diletakkan di sebelah katil dalam bilik tidur.

"Selain hilang barang kemas, kami sekeluarga turut kehilangan lima buah telefon bimbit, sebuah komputer bimbit dan wang tunai lebih RM7,000 yang kesemuanya dianggarkan RM80,000," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Hawa, ketika kejadian, dia bersama suami serta empat anak tidur di bilik masing-masing sebelum dikejutkan dengan suara yang mengarahkannya bangun.

"Seorang daripada empat penyamun yang menutup mukanya dengan kain bertindak mengikat tangan saya dengan wayar elektrik.

"Suspek kemudian mengejutkan suami saya (Alias Ahmad) dan mengikat tangan serta menekup mukanya dengan bantal sambil mengarahkan kami jangan bising," katanya.

Hawa berkata, suspek membawanya untuk mengejutkan empat anaknya berusia 11 hingga 21 tahun yang tidur di dalam bilik berasingan sebelum mereka dikumpul di dalam bilik tidurnya.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ahmad Mazlan Yahya ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

No comments:

Post a Comment