SHAH ALAM – Seorang kerani di sebuah syarikat logistik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan pecah amanah dengan menyalahgunakan kad minyak syarikat.

S Karthik, 26, didakwa menggunakan kad minyak Shell milik syarikatnya, Mory Logistik Sdn Bhd sebanyak RM 8,822.51untuk kegunaan peribadi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Shell cawangan Taman Pendamar, Pendamaran Klang, kira-kira 1 petang hingga 3 pagi, antara 11 Mac dan 9 April tahun ini.Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 14 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim, Aslam Zainuddin membenarkan ikatjamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes 17 Julai tahun depan Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma Nadiah Abd Rahman manakala Karthik diwakili peguam, K Muthiah.

Peguam itu mendakwa, anak guamnya seorang yang susah dan kesempitan wang.

Dalam pada itu, pada awal bulan ini, juga di mahkamah di sini, Sinar Harian melaporkan, seorang pemandu lori terpaksa merengkok di penjara selama 14 hari akibat tidak jujur menyalahgunakan kad minyak milik syarikat.

Malah Nurat Jaman Saidi, 33, diperintah membayar denda RM4,000 dan diperintah pula menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal melunaskan denda itu.Dia dihukum selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan pecah amanah, pada 1 hingga 31 Mac 2011, menggunakan kad minyak jenis Esso milik syarikat Gold Cold Transportation Sdn Bhd yang sepatutnya untuk kegunaan lori syarikat.

Perbuatannya terbongkar selepas dia didapati mengemukakan resit tidak munasabah berdasarkan jumlah minyak yang diisi pada meter tangki bagi tempat yang berbeza.Penyataan yang dibuatnya bercanggah dengan resit daripada stesen minyak selain terdapat perjalanan dibuatnya tidak mempunyai resit pembelian minyak.