Search This Blog

Thursday, December 29, 2011

Rostam bocor tender jalan



Oleh Junita Mat Rasid dan Umi Nadirah Abdul Rahman
bhjb@bharian.com.my
2011/12/29

Bekas pegawai IIB kena RM20,000 dedah maklumat 3 tahun lalu 

JOHOR BAHRU: Bekas Naib Presiden Kanan, Reka bentuk dan Pelaksanaan Projek, Iskandar Investment Berhad (IIB), Rostam Razali dikenakan hukuman denda RM20,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen semalam, atas tuduhan membocorkan maklumat harga anggaran bidaan bagi tender satu projek pembinaan jalan, tiga tahun lalu.

Rostam, 51, yang juga bekas Pengarah Operasi Gerbang Perdana Sdn Bhd, membuat pengakuan itu di depan Hakim Mohd Nasir Nordin sejurus mendengar tuduhan dikemukakan terhadapnya oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Fazlin Hamdan.
Tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Afiq Mohamad Noor kemudian membayar denda berkenaan di kaunter Pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen. 

Rostam dituduh menggunakan maklumat diperoleh berdasarkan kedudukannya sebagai pegawai IIB bagi mendapatkan keuntungan secara langsung bagi dirinya dan orang lain dengan mendedahkan maklumat harga anggaran bidaan projek yang dilaksanakan IIB. 

Dia dituduh mendedahkan maklumat membina dan menyiapkan Pakej 3B iaitu projek persimpangan Jalan Abu Bakar dekat sini, kepada bakal syarikat yang memasuki tender, Kimlun Sdn Bhd, menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sim Tian Liang, di Pejabat IIB pada awal April 2008. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 132(2)(b) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 132(3) akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM30,000. 
Mengikut fakta kes yang dibacakan di mahkamah, Rostam menerima anggaran harga projek pembinaan itu daripada perunding projek itu, ARH Jurukur Bahan Sdn Bhd pada 3 April 2008 sebelum memaklumkan maklumat itu kepada Tian Liang supaya syarikat Kimlun memasuki tender itu dalam lingkungan harga RM118 juta hingga RM128 juta. 

Kimlun kemudian memasuki tender pada harga lingkungan sebagaimana dimaklumkan oleh Rostam dan akhirnya berjaya mendapatkan projek berkenaan pada 21 Oktober 2008. 

No comments:

Post a Comment