AADK

KUALA TERENGGANU – Kegiatan mengedar pil kuda dipercayai mula meresap dalam kalangan remaja di negeri ini yang menjadikan aktiviti mengayuh basikal fixie secara beramai-ramai sebagai aktiviti riadah mereka.

Lebih menakutkan, individu yang tidak bertanggungjawab itu turut dikatakan sudah masuk ke dalam kumpulan remaja terbabit dan kini dikatakan cuba merekrut remaja berkenaan untuk meluaskan perniagaan haram itu.

Perkara itu dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Dr A Rahman Mokhtar dalam acara bicara santai anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), di sini.

Majlis turut dihadiri Pengarah AADK Terengganu, Wan A’ddenan Wan Mohd Noor dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid.

Menurut A Rahman yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) negeri, aktiviti menjual dadah itu memberi keuntungan cepat, jadi tidak hairanlah jika ada pihak cuba ambil kesempatan merekrut remaja itu untuk meluaskan bisnes mereka.

“Oleh sebab perniagaan haram ini sangat menguntungkan mereka akan cuba pelbagai cara dan mereka nampak peluang remaja berkumpul ramai-ramai mengayuh basikal fixie ini (pula) sebagai sasaran baru (mereka),” katanya.

A Rahman berkata, perkara itu disampaikan oleh remaja yang terlibat dengan aktiviti berkenaan, namun beliau tidak tahu setakat mana tindakan yang dilakukan oleh pihak polis berhubung perkembangan itu.

“Sebelum perkara ini menjadi serius (kita) harap ibu bapa, masyarakat dan pihak yang berkenaan segera mengambil tindakan kerana aktiviti berbasikal ini kita sangat galakkan bagi membendung kegiatan samseng rempit (jalan raya).

“Tetapi jika kegiatan ini turut dipengaruhi kegiatan pengedaran dadah, ia akan membuat masalah penyalahgunaan dadah di negeri ini semakin teruk,” katanya.

Sementara itu, menurut Superintendan Roslan Abd Wahid, pihaknya akan menyiasat perkara itu bagi memastikan perkara itu dapat dibendung lebih awal.