Rampas komponen kereta
KOTA BHARU- Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua, apabila kegiatan menyembunyikan komponen kenderaan curi yang dileraikan dan disembunyikan di belakang sebuah rumah di Bachok berjaya dikesan oleh polis.

Dalam serbuan yang dilakukan jam 5 petang kelmarin polis berjaya merampas pelbagai komponen kereta jenis Proton Wira dan Iswara berjaya dirampas di belakang sebuah rumah di Kampung Pengkalan Chengal, Bachok.

Selain itu, tiga suspek berusia antara 20 hingga 27 tahun ditahan hasil maklumat dan intipan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, antara jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, suspek pertama berusia 24 tahun ditahan di Kampung Pantai Senok, Tawang, Bachok, pada jam 9 pagi yang membawa kepada penangkapan dua lagi suspek berusia 20 tahun di Panji dan suspek 27 tahun di Kampung Sering, Kedai Lalat, dekat sini.

“Hasil maklumat lanjut daripada penangkapan suspek polis berjaya merampas komponen kereta terbabit termasuk sebahagiannya sudah dimuatkan ke dalam lori dan van, selain masih berada di belakang rumah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, ketika serbuan itu dijalankan juga salah seorang lagi suspek berusia lingkungan 20-an yang tinggal di rumah berkenaan melarikan diri setelah menyedari kehadiran polis.

”Hasil pemeriksaan lanjut di kawasan serbuan kita juga mendapati beberapa pintu, tempat duduk dan enjin yang sudah dileraikan sebelum ini berada dalam kenderaan. Siasatan lanjut kita juga mendapati di belakang rumah berkenaan dijadikan tempat meleraikan kenderaan yang dicurinya sebelum ini,” katanya.

Azham juga mempercayai masih ada rangkaian ahli lain yang terbabit dalam kumpulan berkenaan dan siasatan secara terperinci akan dilakukan berhubung penglibatan suspek dalam kes kecurian itu.

”Hasil ujian air kencing juga didapati dua suspek terbabit adalah positif dadah dan mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri sebuah kenderaan motor,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli sebarang komponen kenderaan secara tidak sah, kerana kemungkinan ia barang curi atau sebaliknya.