Pertikai tindakan Imigresen

SEREMBAN – Sikap sebahagian besar pelajar warga asing yang memandang remeh kepentingan membawa dokumen pengenalan diri semasa berada di luar kawasan kolej di sini, membawa padah apabila mereka ditahan Jabatan Imigresen, semalam.

Mereka ditahan ketika sedang berada di sebuah pusat snuker di sini.

Bagaimanapun, berlaku sedikit kekecohan apabila beberapa pelajar warga Afrika yang ditahan mempertikaikan tindakan anggota penguat kuasa itu, walaupun sudah menunjukkan surat pengesahan dan kad pelajar kolej.

Selain itu, tiga pelajar warga Korea yang ditahan sebelum ini kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri dilihat cuba memujuk anggota Imigresen supaya tidak ditangkap.

Namun, anggota penguat kuasa mengambil sikap timbang rasa apabila membenarkan mereka yang ditahan mengambil dokumen pengenalan diri masing-masing menerusi bantuan rakan mereka.

Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, kesemua yang ditahan tidak membawa sebarang dokumen yang sah dan mendakwa dokumen mereka disimpan pengurusan kolej bagi memproses kad pelajar.

Menurutnya, pelajar asing yang ditahan mendakwa pengurusan kolej mereka memberitahu, mereka tidak akan ditahan pihak berkuasa jika menunjukkan surat pengesahan pelajar dikeluarkan kolej.

“Tindakan pengurusan institusi pengajian tinggi swasta itu memberi maklumat salah menyebabkan pelajar asing tidak bimbang berkeliaran di luar kolej tanpa membawa sebarang dokumen pengenalan diri.

“Kerana itu, masing-masing memandang remeh tentang kepentingan membawa dokumen pengenalan diri,” katanya ketika ditemui dalam Ops 6P membabitkan 20 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen, di sini semalam.

Menurut Faizal, Jabatan Imigresen akan menyiasat kolej terbabit menyimpan dokumen pelajar bagi memastikan status sebenar warga asing terbabit sebelum mengambil tindakan lanjut.

Menurutnya, surat yang dikeluarkan kolej berkenaan tidak diterima mana-mana agensi penguat kuasaan.

Katanya, pengurusan kolej sepatutnya meminta surat pengesahan daripada Jabatan Imigresen untuk diberikan kepada pelajar terbabit dan bukannya mengeluarkan surat sendiri.

“Kolej juga perlu berusaha memberi penjelasan kepada pelajar mengenai undang-undang imigresen di negara ini kerana ramai yang diperiksa tidak memahaminya.

“Sesetengah pelajar ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah mendakwa pasport mereka sedang diproses Jabatan Imigresen bagi permohonan serta pembaharuan pas pelajar,” katanya.

Sementara itu, operasi berlangsung kira-kira 8.30 malam sehingga 2 pagi itu, seramai 24 warga asing ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Dalam empat serbuan berasingan, kita menahan 20 lelaki dan empat wanita terdiri daripada warga Afrika, Myanmar, Mesir dan Nepal berusia lingkungan 18 hingga 35 tahun dan dipercayai menuntut di sebuah kolej di sini,” katanya.