Search This Blog

Thursday, December 29, 2011

Penyeludup ubah laluan transit


SEPANG 28 Dis. – Selepas beberapa percubaan melibatkan rakyat Iran dan Nigeria berjaya ditumpaskan, sindiket penyeludupan dadah antarabangsa kini mempelbagaikan penggunaan keldai dadah dan laluan transit untuk mengaburi mata pegawai penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Terbaru, seorang pemuda Melayu berusia 21 tahun dipercayai diupah sindiket dari Iran atau Nigeria berjaya ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) apabila cuba membawa masuk dadah jenis syabu seberat tiga kilogram bernilai RM750,000 dari Manila, Filipina.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA, Datuk M. Govinden berkata, lelaki itu yang mendarat di LCCT pada pukul 12.45 tengah malam semalam menyorokkan 10 bungkusan dadah di ruang bagasi yang ditutup dengan karbon bagi mengelak ia dikesan oleh mesin pengimbas.
“Penahanan lelaki tempatan yang bekerja di Petaling Jaya itu serta penahanan masing-masing dua wanita Vietnam dan Kemboja (baru-baru ini) menunjukkan sindiket dadah cuba mempelbagaikan modus operandi mereka.
“Mereka bukan sahaja menggunakan keldai dadah dari negara yang kurang disyaki, malahan laluan transit penyeludupan dadah juga beralih ke destinasi baru seperti Dhaka dan Manila untuk mengaburi pegawai penguat kuasa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sebelum ini, JKDM berjaya membongkar pelbagai cara untuk menyeludup dadah seperti melalui kurier serta menyorokkan dadah dalam bagasi yang diubah suai, amplifier, tin makanan, peket kecil cappucino, peralatan sembahyang, pelembap bibir dan sandal wanita.
Beliau berkata, trend terbaru sindiket penyeludupan dadah yang menggunakan warganegara dan laluan transit yang berbeza-beza memaksa JKDM memperketatkan kawalan ke atas semua penumpang tidak kira mereka terdiri daripada rakyat tempatan atau warga asing.
“Jika sebelum ini destinasi seperti India, China dan Asia Barat sering menimbulkan kecurigaan, kini semua penerbangan dan semua warganegara berkemungkinan digunakan oleh sindiket penyeludupan dadah.
“Sindiket dadah mungkin melihat JKDM tidak akan memeriksa bagasi penumpang dari destinasi yang kurang disyaki seperti Filipina terutamanya pada musim cuti,” katanya.
Dalam pada itu, Govinden berkata, sebanyak 24 orang telah ditangkap JKDM kerana cuba menyeludup dadah pelbagai jenis bernilai kira-kira RM27.9 juta dalam tempoh Oktober hingga Disember tahun ini.
“Daripada yang ditahan, 18 orang merupakan warganegara asing, manakala enam lagi rakyat tempatan,” katanya.
Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment