warga emas
GEORGETOWN - Seorang wanita warga emas menemui ajal dalam satu kemalangan ngeri berhampiran Maybank di Jalan Jelutong, dekat sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, mangsa Liang Took How, 56, maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala selepas motosikal ditungganginya dikatakan dirempuh sebuah motosikal.

Kemalangan itu membabitkan tiga lagi mangsa yang mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPPP) untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL), Inspektor Zhafran Ariff Mohd Kassim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Setakat ini, polis masih menyiasat punca berlakunya kemalangan ini.

“Mana-mana saksi awam yang melihat atau mengetahui kemalangan ini diminta menghubungi telefon bimbit saya di talian 0197172681 atau IPDTL di talian 06-2834139 membantu siasatan,” katanya.

Mayat Took How dihantar ke HPP untuk dibedah siasat.