Search This Blog

Thursday, December 29, 2011

Penjual kubis rentung tersandar

RANAU: Seorang lelaki warga emas tidak sempat menghadiri majlis perkahwinan cucunya apabila dia rentung di dalam bilik rumahnya yang terbakar di Kampung Monteki, Kundasang di sini, kelmarin.

Lebih menyayatkan hati, mangsa, Hamidul Abdullah, 60, yang juga penjual kubis ditemui dalam keadaan tersandar di dinding bilik dipercayai cuba menyelamatkan diri, kira-kira 11.40 malam.


Sebelum kejadian, mangsa dikatakan bersendirian di rumah selepas isteri, Limah Sabuling, 60, ke rumah anaknya di Kampung Marakau, yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumah mereka bagi membuat persiapan majlis perkahwinan cucu yang berlangsung, semalam.

Limah berkata, pada pagi sebelum kejadian, dia mengajak suami ke rumah anak mereka bagi menghadiri majlis perkahwinan, tetapi suami mahu menjual kubis terlebih dulu dan menyuruhnya pergi dulu.


“Saya akur dengan permintaan suami dan terus ke rumah anak, tapi pada tengah malam semalam (kelmarin), saya terkejut apabila menerima panggilan polis bahawa suami terbunuh dalam kebakaran,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Limah berkata, sukar untuk menerima kejadian yang menimpa suami yang rentung selain rumah yang didiami dengan insan tersayang turut hangus.

“Saya sedih mengenangkan suami pergi dalam keadaan begitu,” katanya.


Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Abdul Rahman Kassim berkata, ketika kejadian, mangsa bersendirian di rumah selepas isteri ke rumah anak mereka di Kampung Marakau.

“Kejadian hanya disedari jiran yang kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Ranau.


“Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada api lilin yang dinyalakan mangsa kerana rumah itu tidak dilengkapi bekalan elektrik,” katanya di sini, semalam.


Sementara itu, Ketua Balai JBPM Ranau, Rudy Mekii ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.45 malam.


Beliau berkata, lima anggota diketuai Pegawai Bomba, Jaminak Kasuman dikerahkan ke lokasi kejadian menggunakan pacuan empat berikutan jarak sejauh 25 kilometer ke kawasan kampung itu sukar dilalui kenderaan bomba.


Katanya, anggotanya tiba ke lokasi kira-kira jam 12.35 tengah malam dan mendapati sebuah rumah kayu terbakar dan siasatan kemudian menemui seorang warga emas yang rentung dipercayai pemilik rumah itu.


“Operasi memadamkan kebakaran tamat kira-kira setengah jam kemudian,” katanya.

myMetro | Penjual kubis rentung tersandar:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment