Search This Blog

Saturday, December 31, 2011

Pelajar Afrika dalang keldai dadah




Ayub Yaakob (kanan) memerhatikan ruang khas di dalam beg yang dijadikan tempat menyembunyi dadah jenis syabu oleh seorang wanita tempatan bagi mengaburi mata pihak berkuasa di Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 30 Dis. - Seorang ibu tunggal yang ditahan bersama 3.9 kilogram syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini kelmarin, dijadikan keldai dadah oleh pelajar warga asing sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di ibu negara.
Ini berikutan penangkapan dua pelajar warga Nigeria dipercayai dalang sindiket penyeludupan dadah antarabangsa itu di KL Sentral pada hari yang sama wanita berkenaan ditahan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, berikutan penahanan wanita berusia 42 tahun kelmarin, sepasukan pegawai dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang melancarkan operasi dan berjaya menjejaki dua pelajar terbabit," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, pelajar berusia 26 dan 37 tahun itu ditahan ketika menunggu wanita berkenaan yang sepatutnya tiba selepas menaiki bas dari Pulau Pinang.
"Mengikut perancangan sindiket itu, ibu tunggal itu sepatutnya menaiki bas ekspres dari Pulau Pinang ke KL Sentral bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
"Polis juga mengesan taktik baru sindiket keldai dadah iaitu mereka tidak masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana penguatkuasaan yang makin ketat," katanya.
Ayub berkata, siasatan juga mendapati, wanita yang berasal dari Pulau Pinang dan bekerja di sebuah spa di ibu negara merupakan kekasih kepada salah seorang suspek.
Katanya, selain menerima upah lumayan, wanita terbabit juga mendapat pakej pelancongan percuma untuk membawa dadah bernilai RM750,000 itu.
"Wanita berkenaan menaiki penerbangan dari KLIA ke Mumbai, India dan ke Adis Ababa (Ethiopia) dan Bamako, ibu negara Mali iaitu sebuah negara di Afrika Barat untuk mengambil dadah sebelum berpatah balik mengikut laluan yang sama," katanya, sambil menambah perjalanan itu bermula 21 Disember lalu.
Ayub berkata, hasil penahanan mereka, polis turut merampas wang tunai sebanyak RM29,634.
Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman sehingga 4 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut Ayub, polis sedang mengesan saki baki sindiket berkenaan selain bagi mengelak lebih ramai wanita tempatan dijadikan keldai dadah.
-utusan

No comments:

Post a Comment