Search This Blog

Monday, December 12, 2011

Pasar raya rugi RM60,000 dalam kejadian pecah masuk

Berita Harian Online | Pasar raya rugi RM60,000 dalam kejadian pecah masuk:
KUANTAN: Sebuah pasar raya di Jalan Bukit Ubi di sini, kerugian kira-kira RM60,000 apabila peti besi simpanan wang tunai dipecahkan dalam satu kejadian pecah masuk, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superitendan Zulkifli Taha, berkata kejadian itu disedari penyelia pasar raya terbabit ketika beliau mahu membuka pintu untuk memulakan perniagaan pagi ini.
Beliau berkata, penyelia berusia 30 tahun itu bergegas ke ruang pejabat apabila menghidu bau hangit sebelum mendapati peti besi simpanan wang terbuka.
"Penyelia terbabit kemudiannya mendapati satu siling sudah dipecahkan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, siasatan awal polis yang tiba di tempat kejadian jam 10 pagi itu mendapati suspek yang dipercayai lebih daripada seorang memasuki pasar raya tersebut melalui tangga keselamatan di belakang bangunan.

"Mereka dipercayai memasuki pasar raya itu tengah malam semalam sehingga awal pagi tadi melalui tangga belakang bangunan lalu memecahkan pintu di tingkat dua sebelum mengetuk siling pasar raya.

"Peti besi yang disimpan dalam ruang pejabat itu dipercayai dipecahkan menggunakan mesin gerudi," katanya.
Beliau berkata, polis percaya suspek tersebut membuat pemantauan ke dalam pasar raya terbabit sebelum kejadian pecah masuk itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment