Search This Blog

Monday, December 12, 2011

Panik air naik paras pinggang tak sampai sejam

myMetro | Panik air naik paras pinggang tak sampai sejam:
KUANTAN: “Saya panik dan terpaksa menempuh detik cemas apabila tidak sampai satu jam air sudah naik paras pinggang sekali gus tidak sempat menyelamatkan barangan berharga.
“Namun, saya bersyukur kerana ahli keluarga tidak mengalami sebarang kejadian tidak diingini walaupun hujan tidak berhenti sehingga pagi ini (semalam),” kata Roslina Mahmud, 38, dari Kampung Tiram, di sini.

Mengimbas detik cemas itu, Roslina berkata, dia bersama 12 ahli keluarganya sedang menikmati makan malam pada jam 9 malam sebelum menyedari banjir lumpur mula masuk melalui bahagian dapur rumah.
Menurutnya, dalam keadaan kelam-kabut serta panik, dia mengarahkan ahli keluarga segera menyelamatkan harta dan dokumen penting untuk diletakkan di tempat lebih tinggi.

Katanya, pada masa sama, dia juga terkilan dan sedih kerana terpaksa membiarkan perabot dan mesin basuh ditenggelami air kerana tidak sempat hendak mengalih barangan itu berikutan air naik terlalu pantas.

“Saya terpaksa meninggalkan lauk yang terhidang atas meja serta nasi kerana mahu menyelamatkan harta dan terpaksa meninggalkan sebahagian perabot ditenggelami air kerana tidak sempat dialih.
"Kejadian malam tadi (kelmarin) lebih teruk berbanding tahun lalu dan biarlah perabot rosak yang penting semua ahli keluarga selamat," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, dia tidak teragak-agak untuk mengambil keputusan berpindah ke surau Kampung Tiram, di sini, sekiranya keadaan paras air di rumahnya berada pada tahap membimbangkan.
Katanya, bagaimanapun, buat masa ini dia akan menetap di rumahnya kerana bimbang untuk ditinggalkan bagi mengelak dimasuki pencuri biarpun paras air di tahap membimbangkan.

Roslina berkata, pada masa sama, dia turut bimbang tebing yang menyebabkan punca banjir lumpur bersebelahan dengan rumahnya runtuh jika hujan tidak berhenti.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro malam kelmarin mendapati, sebahagian penduduk Kampung Tiram terputus hubungan hampir 10 jam bermula malam kelmarin hingga pagi semalam berikutan hujan tidak berhenti.

No comments:

Post a Comment