Search This Blog

Tuesday, December 6, 2011

Panah tengkuk

myMetro | Panah tengkuk:

TAWAU: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun terpaksa dikejarkan ke hospital dengan sebatang anak panah masih terpacak di tengkuknya selepas diserang lebih 10 lelaki di Persisiran Traulsen, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Ciko, nyaris maut apabila panahan senjata buatan sendiri itu mengenai tengkuknya.


Menurut Ciko, sebelum kejadian, dia bersama abangnya berusia 17 tahun bersiar-siar di kawasan berkenaan apabila tiba-tiba ditahan dua lelaki berusia 20-an.

“Sebaik ditahan, lelaki berkenaan bertanyakan sama ada saya ‘budak flat’ (penduduk pangsapuri berdekatan) dan belum sempat saya menjawab, seorang daripada mereka terus melepaskan tumbukan.


“Tumbukan ini menyebabkan saya terjatuh dan ketika mahu bangun, saya lihat sekumpulan lelaki meluru dan terus membelasah saya,” katanya.


Menurutnya, ketika kejadian, abangnya sempat melarikan diri meminta bantuan.

Katanya, selepas puas dibelasah, seorang daripada penyerang terbabit mengeluarkan sejenis senjata seperti busur dan terus melepaskan anak panah.


“Panahan itu tepat mengenai tengkuk menyebabkan saya menjerit kesakitan sebelum mereka melarikan diri.

“Selepas beberapa minit, abang saya tiba bersama rakannya dan terkejut mendapati saya berada dalam keadaan berlumuran darah selain anak panah yang terlekat di tengkuk,” katanya.


Katanya, dia kemudian dihantar ke Hospital Tawau sebelum doktor mengeluarkan anak panah sepanjang lebih 20 sentimeter itu.


“Saya tidak faham kenapa saya menjadi mangsa mereka sedangkan saya tidak melakukan sebarang perkara yang salah selain tidak mengenali mereka.


“Apa yang saya tahu, mereka adalah ‘Kumpulan Jalan Damai’ yang kebanyakannya tidak bersekolah lagi,” katanya.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin, ketika dihubungi belum menerima laporan kejadian.


“Kami hanya menerima laporan daripada polis yang bertugas di pondok polis hospital, bagaimanapun fail siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan sudah dibuka,” katanya.

No comments:

Post a Comment