Search This Blog

Monday, December 19, 2011

Padah tersalah orang

KUALA TERENGGANU: Akibat silap percaturan, seorang buruh berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda selepas mengaku bersalah menjual kasut jenama Rorine berwarna coklat yang dicurinya kepada pemilik asal kasut berkenaan di Stesen Bas Kuala Dungun, Dungun, kelmarin.

Tertuduh, Samsu @ Shamsudin Musa, 41, berasal dari Kampung Seberang Pintasan, Dungun yang berpakaian baju lokap ungu mengaku bersalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam.


Pendakwaan dijalankan Pendakwa Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut fakta kes, kira-kira jam 10.15 pagi pada 17 Disember lalu di Stesen Bas Kuala Dungun, seorang pemandu bas pelancong meninggalkan kasut jenama Rorine berwarna coklat miliknya di dalam bas dan memakai selipar untuk ke tandas.


Ketika dalam perjalanan kembali ke bas, pengadu terserempak dengan suspek yang bersahaja menawarkan untuk menjual kasut curi kepadanya.


Bagaimanapun, mangsa dapat mengecam kasut itu adalah miliknya yang ditinggalkan di dalam bas berkenaan. Pengadu kemudian membawa suspek menaiki bas dan mendapati kasutnya lesap.

Selepas disoal siasat, suspek mengaku mencuri kasut itu daripada mangsa dan dia diserahkan kepada polis. Abdul Hayyi menetapkan 16 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula untuk jatuh hukum di Mahkamah Majistret Dungun dan tertuduh kemudian dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

myMetro | Padah tersalah orang:

No comments:

Post a Comment