lori terbalik
GUA MUSANG - Memandu dalam keadaan mengantuk membawa padah bagi seorang lelaki, apabila lori dipandunya terbabas lalu terbalik selepas merempuh pembahagi jalan di Kilometer 70 Jalan Gua Musang-Lojing, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 5 pagi ketika pemandu tersebut, Mohd Shafie Mat Ali, 55, bersama kelindannya, Che Sabri Mamat, 23, dalam perjalanan dari Kampung Gajah, Perak ke Kota Bharu.

Bagaimanapun, Mohd Shafie hanya mengalami kecederaan ringan di betis kiri, manakala kelindannya tidak mengalami sebarang kecederaan selepas merangkak keluar menerusi pintu atas.

Mohd Shafie ketika ditemui di tempat kejadian, mengakui dia mengantuk sambil suasana ketika itu dipenuhi kabus tebal membuatkan dia sukar mengawal kenderaannya.

Katanya, dia dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu selepas membeli durian di kampung berkenaan untuk dijual, dan tidak sangka berdepan dengan kejadian tidak diingini.

“Ketika itu juga kelindan saya tidur dan sebaik lori terbalik, saya bersama dia bertindihan di dalam, tetapi dapat keluar untuk menyelamatkan diri menerusi pintu atas sebelah kelindan.

“Pintu tempat saya memandu tertutup selepas terbalik, tetapi durian yang penuh di bahagian belakang tidak tercampak keluar, walaupun dalam keadaan berselerak,” katanya.

Mohd Shafie berkata, dia bersama kelindan terpaksa tunggu di tempat kejadian sehingga jam 8 pagi sebelum mengarahkan Che Sabri keluar ke bandar ini bagi mendapatkan bantuan kenderaan penunda.

Menurutnya, dia sebelum kurang biasa melalui jalan berkenaan, tetapi terpaksa melaluinya untuk menjalankan perniagaan buah-buahan selepas membelinya di Kampung Gajah.

“Kecederaan yang saya alami tidaklah teruk hanya luka kecil sahaja dan bersyukur kami bersama kelindan masih selamat walaupun dalam keadaan lori terbalik,” katanya.

Mohd Shafie juga menyifatkan, jalan itu banyak terdedah kepada bahaya kerana berlaku kerosakan dan cerun runtuh yang perlu pengguna lebih berhati-hati sepanjang perjalanan.

“Tempat saya kemalangan itu, terdapat banyak pembahagi jalan yang diletakan kontraktor kerana kerja pembaikan cerun runtuh hingga turut mengelirukan pengguna,” katanya.