Search This Blog

Thursday, December 29, 2011

myMetro | ‘Cukuplah 22 kali’

SEGAMAT: “Kami sudah penat membersihkan rumah sebanyak 22 kali akibat banjir sejak 1985 dan kali ini kami tidak akan membersihkannya sebaliknya meninggalkan terus rumah.

“Kami memutuskan berpindah ke rumah baru di Kampung Tasik Alai,” kata mangsa banjir, Abdullah Othman, 56, di sini, semalam.


Abdullah dan isteri, Norlela Aridan, 46, dari Kampung Batu Badak mendakwa sudah 22 kali menjadi mangsa banjir sejak 26 tahun lalu kerana rumah mereka berhampiran Sungai Segamat.

Bagaimanapun, menurut Abdullah, masalah banjir sering dihadapi mereka sekeluarga bakal berakhir kerana kediaman mereka akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pelebaran Jalan Daerah Segamat ke Ledang.


“Kami akan berpindah ke rumah baru apabila dibenarkan keluar dari pusat penempatan sementara banjir di Balai Raya Kampung Batu Badak.


“Rumah baru itu sedang dalam pembinaan hasil wang pampasan projek pelebaran jalan berkenaan,” katanya.

Menurut Abdullah, rumah di Kampung Batu Badak itu adalah pusaka ibu bapanya dan sepanjang 26 tahun tinggal di situ, hampir setiap tahun rumah berkenaan dilanda banjir menyebabkan mereka kerugian besar.


“Daripada 22 banjir itu, dua kali cukup menakutkan iaitu pada 2006 dan awal tahun ini apabila rumah kami ditenggelami air sedalam kira-kira empat meter.

“Akibat arus kuat rumah kami hampir roboh malah barangan seperti dapur, periuk belanga, perabot dan banyak lagi dihanyutkan,” katanya yang bekerja sebagai tukang rumah dan mempunyai lima anak.


Menurut Abdullah, dia sekeluarga membuat persiapan awal tahun ini dengan meletakkan barangan elektrik di lokasi selamat malah menyimpan dokumen penting seperti kad pengenalan serta surat beranak dalam satu bekas untuk memudahkan dibawa pergi jika banjir melanda.


Abdullah bersyukur kerana pelbagai pihak seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Masyarakat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia menghulurkan bantuan.


Sementara itu, Penyelaras Pusat Pemindahan Mangsa Banjir Kampung Batu Badak, Mohsin Ahmad, 74, berkata, hanya terdapat 69 mangsa daripada 18 keluarga masih menghuni Balai Raya Kampung Batu Badak berbanding 109 orang daripada 30 keluarga pada 19 Disember lalu ketika ia mula dibuka.


“Kami harap banjir segera surut bagi membolehkan lebih ramai mangsa kembali ke rumah masing-masing,” katanya.

myMetro | ‘Cukuplah 22 kali’:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment