GEORGETOWN - Seorang buruh binaan warga Indonesia maut setelah terkena libasan tali kapal ketika menurunkan cerucuk di tapak pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang di Batu Maung, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa hanya dikenali sebagai Taufik menemui ajalnya setelah leher dan mukanya cedera parah terkena tali berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Hatta Mohd Zain berkata, lelaki berusia 21 tahun itu bertugas secara kontrak dengan sebuah kapal yang digunakan oleh kontraktor pembinaan jambatan tersebut dipercayai sedang menurunkan cerucuk besi dengan menggunakan tali.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diberikan rakan mangsa yang melihat kejadian itu, tali berkenaan putus secara tiba-tiba dan melibas mangsa.

"Mereka kemudian menghubungi ambulans. Sebaik diperiksa pegawai perubatan yang tiba, mangsa didapati meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Hatta berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat.

“Siasatan awal mendapati kematiannya tiada unsur jenayah dan polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut,” katanya.