Search This Blog

Monday, December 12, 2011

Mangsa cam lelaki samun rumah, curi kereta

BUKIT MERTAJAM: Seorang pemuda terkedu apabila mangsa samun dan pemilik kenderaan pacuan empat roda mengecamnya sebagai seorang anggota kumpulan penyamun menceroboh rumah serta melarikan kenderaannya itu di Bukit Sentosa, Selangor, tengah malam, Jumaat lalu.
Mangsa sebelum itu dipanggil ke lokasi sekatan jalan raya yang dijalankan Unit Peronda Elit Evolution X di Projek Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah utara berhampiran persimpangan Autocity, di sini, awal pagi semalam, selepas kenderaan itu berjaya dikesan semula.

Setibanya di lokasi kira-kira jam 5 pagi, mangsa yang kebetulan pulang ke kampungnya di Bukit Tambun, di sini, kemudiannya dibawa untuk mengenal pasti kenderaannya terus menuding jari ke arah seorang pemuda ditahan dan mengesahkannya antara sekumpulan lelaki menyamunnya.
Sebelum itu, dua pemuda menaiki kenderaan pacuan empat roda berkenaan dikesan berhenti di laluan bertingkat Autocity kira-kira 500 meter dari sekatan jalan raya sebelum bertindak keluar dan meninggalkan kenderaan itu jam 3.30 pagi.

Anggota Unit Peronda Elit Evolution X kemudian mengejar mereka dan menahannya 100 meter dari kenderaan berkenaan.

Hasil pemeriksaan terhadap nombor pendaftaran kenderaan itu kemudianmendapati ia dilaporkan dicuri dan siasatan terhadap kedua-dua pemuda berusia lingkungan awal 20-an itu mendapati mereka dalam perjalanan menghantarnya ke satu lokasi berhampiran sempadan negara jiran.
Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu kemudiannya menemui dokumen termasuk nombor telefon pemilik kenderaan itu dan polis menghubunginya bagi mendapatkan pengesahan sebelum diminta membuat pengecaman.

Difahamkan, mangsa yang juga pemilik kilang di Bukit Beruntung, Selangor disamun sekumpulan lelaki bersenjatakan parang menceroboh rumahnya di Bukit Sentosa jam 12 tengah malam.
Kumpulan berkenaan memaksanya menyerahkan kunci kenderaan pacuan empat rodanya itu sebelum melarikan kenderaan itu. Pegawai Turus Unit Peronda Polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Cif Inspektor Rohizad Halim berkata, dengan penemuan semula kenderaan dan penahanan dua pemuda terbabit diyakini dapat menyelesaikan kes terbabit dalam masa 28 jam.
myMetro | Mangsa cam lelaki samun rumah, curi kereta:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment