Search This Blog

Friday, December 2, 2011

Lima Ditahan, 13 Kes Jenayah Sekitar Perak Dan Lembah Klang Selesai


SHAH ALAM: Polis percaya dapat menyelesaikan 13 kes jenayah di sekitar Perak dan Lembah Klang berikutan penahanan lima orang yang disyaki terlibat dalam kes curi kereta mewah di Desajaya, Kepong Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata empat lelaki dan seorang wanita yang berumur 20 hingga 34 tahun itu ditahan sejak Isnin dan Selasa lepas.

Kesemua suspek itu disyaki terlibat dalam kes pecah rumah, samun dan curi kenderaan di Ipoh dan Manjung, Perak serta beberapa tempat sekitar Lembah Klang seperti Gombak, Ampang, Kepong dan Kajang sepanjang tahun ini, katanya.

Beliau berkata hasil penahanan itu, polis menemui pelbagai barangan yang dipercayai barangan curi, antaranya empat telefon bimbit, beberapa utas jam tangan dan beg tangan.

"Polis turut merampas sebuah kereta berjenama Nissan Latio yang mempunyai nombor pendaftaran palsu. Kereta itu dilapor hilang di Bukit Jelapang, Perak 23 Nov lepas," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Jumaat.

Mohd Adnan berkata kumpulan itu berjaya ditahan selepas polis menerima laporan mengenai kejadian melarikan sebuah kenderaan mewah jenis BMW yang ditinggalkan di bahu jalan tanpa mematikan injin di Jalan KIP 1, Desajaya, Kepong, Isnin lepas.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi itu, seorang lelaki melarikan kereta itu bersama-sama seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang ditinggalkan dalam kereta berkenaan semasa bapanya pergi membeli makanan di sebuah restoran.

Siasatan polis mendapati mangsa disembunyikan di sebuah hotel di Sri Damansara dan polis yang bergegas ke lokasi kejadian berjaya menahan tiga lelaki dan seorang wanita di hotel itu pada pukul 2 petang 28 Nov lepas, katanya.

Beliau berkata susulan penahanan itu, polis menahan seorang lagi lelaki di sebuah hotel di Cheras pada 29 November.

Adnan berkata ujian air kencing yang dijalankan terhadap kesemua yang ditahan itu mendapati mereka positif dadah dan dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah.Kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan 379A Kanun Keseksaan kerana menculik daripada penjaga yang sah, katanya. - BERNAMA

mStar Online : Lima Ditahan, 13 Kes Jenayah Sekitar Perak Dan Lembah Klang Selesai:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment