ALOR SETAR - Seorang lelaki rentung apabila kereta yang dipandunya terbakar selepas terbabas dan melanggar sebatang pokok di Jalan Batas Paip menghala ke Kuala Kedah, malam tadi.

Peh Tiong Boon, 30, gagal diselamatkan apabila orang ramai yang cuba membantunya tidak berjaya menarik Peh, yang tersepit, keluar dari kereta itu.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kota Setar DSP Mohd Sham Abdullah berkata dalam kejadian pada pukul 9 malam itu, lelaki berkenaan yang menaiki kereta Proton Waja cuba memotong sebuah lori tetapi tidak berjaya.

"Dia cuba mengelak sebuah trailer yang datang dari arah bertentangan menyebabkan dia terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar pokok di tepi jalan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata disebabkan rempuhan yang kuat pada pokok itu, kereta mangsa berpusing beberapa kali sebelum berlaku percikan api.

"Sebelum keretanya terbakar, mangsa masih sedar dan cuba diselamatkan oleh orang awam namun gagal kerana kedua-dua belah kakinya tersepit dan apabila api mula marak, orang ramai terpaksa meninggalkan Peh," katanya.

Beliau berkata mayat Peh dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.