BUTTERWORTH — Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mendera dua orang anaknya dengan mengikat kaki mereka dan mengurung kedua-duanya dalam bilik air di rumah mereka di Jalan Raja Uda di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, ACP Zulkifli Alias berkata, lelaki berusia 40-an itu telah mengikat kaki anak perempuannya berusia enam tahun dan anak lelaki berusia dua tahun itu dengan rantai besi sebelum keluar bekerja pada 3 petang semalam.

Dua beradik itu dipercayai berlapar lebih lima jam selepas bapa mereka keluar rumah di Taman Mawar di Raja Uda di sini.

Lelaki yang bekerja dengan sebuah syarikat penghantaran di sini, telah berpisah dengan isterinya seorang warga Thailand sejak sebulan lepas.

Zulkifli berkata, kedua-dua beradik itu ditemui dalam keadaan sangat letih kerana kelaparan dan mereka hanya memakai baju dan seluar dalam dengan kaki berantai besi.

"Siasatan awal mendapati bapa kanak-kanak itu bertindak demikian kerana tidak mempunyai penjaga dan anaknya pula dikatakan nakal,” katanya.

Lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak yang jika bersabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.