Search This Blog

Monday, December 19, 2011

Lapan rumah musnah dalam kebakaran



Rubiah Jantan sedih apabila melihat sisa barangannya yang tinggal selepas berlaku kebakaran lapan buah rumah di Kampung Rantau Panjang, Klang kelmarin.


KLANG 18 Dis. - Sebanyak 27 penghuni tinggal sehelai sepinggang apabila lapan rumah musnah dalam kebakaran di Lorong Ahmad, Kampung Rantau Panjang, di sini malam semalam.

Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 7.20 malam itu bagaimanapun tidak membabitkan kecederaan atau kematian.

Seorang mangsa, Rubiah Jantan, 44, berkata, dia hanya sempat menyelamatkan sehelai baju dan dokumen penting sementara peralatan sekolah yang dibeli untuk dua orang anaknya, Muhammad Iswan Alias, 15, dan Mohd Hafis Alias, 13, musnah sekelip mata.

Dengan nada sebak ibu tunggal itu berkata, kelengkapan sekolah itu dibelinya hasil baucer pemberian Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak RM360 yang diperoleh baru-baru ini.

"Api marak sangat cepat dan saya tidak sempat selamatkan baju sekolah, kasut, beg dan peralatan alat tulis anak-anak yang diletakkan di atas meja di ruang tamu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Ketika ini, Rubiah dan mangsa kebakaran lain ditempatkan sementara di Rumah Komuniti Anti Dadah Daerah Klang di sini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Ishak Bakar, ketika dihubungi berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih disiasat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil antara yang menziarahi mangsa kebakaran dan menyampaikan bantuan kecemasan.

Utusan Malaysia Online - Kota:'via Blog this'

No comments:

Post a Comment