KUANTAN - Sebanyak RM1,313,418.88 juta membabitkan 26 kes penipuan jenayah siber dicatat sejak Januari hingga 21 Disember ini di negeri ini.
 
Antaranya melibatkan kes-kes penipuan tersebut ialah panggilan palsu daripada bank negara, panggilan daripada polis dari Bukit Aman dan polis Hong Kong dan panggilan daripada pegawai kad kredit bank.
 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang, Superintenden Thomas Navamoney berkata, kebanyakan mangsa terdiri daripada golongan berpendidikan tinggi serta berjawatan besar.
 
Menurutnya, ia menunjukkan sebilangan besar penduduk di sini ditipu oleh sindiket jenayah siber akibat kurang kesedaran mengenai keselamatan penggunaan komputer dan telefon bimbit.
 
“Ada di kalangan mangsa mencatatkan jumlah tertinggi di tipu iaitu sehingga RM400,000 kira-kira beberapa bulan lalu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
 
Beliau memberitahu, kebiasaannya modus operandi yang digunakan dalam itu apabila nombor-nombor telefon yang akan tertera di skrin telefon mangsa adalah nombor telefon Bank Negara atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Aman.
 
Menurutnya, kaedah itu menyebabkan mangsa mudah terpedaya tanpa berfikir dan terus memindahkan wang atau memberikan nombor akaun mereka berserta nombor pin.
 
“Orang ramai diingatkan mengabaikan segera sekiranya mendapat panggilan daripada bank khususnya Bank Negara atau polis jika diminta menyatakan berkenaan akaun dan kad kredit yang disalahgunakan.
 
“Mereka boleh terus pergi ke bank itu bagi mendapatkan pengesahan tentang perkara berkaitan atau pergi ke balai polis berhampiran,” katanya.
 
Beliau juga menasihatkan orang ramai tidak sesekali memindahkan wang atau mendedahkan maklumat akaun melalui telefon, emel atau apa-apa kepada orang yang tidak dikenali.
 
“Orang ramai diminta segera menghubungi polis Pahang di talian 09-5902222 untuk pertanyaan lanjut berkaitan penipuan sebegini,” katanya.