hakisan
MARANG - Kira-kira 100 penduduk yang tinggal di pesisir Pantai Rhu Renggeh hingga ke Pantai Kelulut di sini, bimbang kawasan pantai di kawasan terbabit diancam hakisan berikutan angin kencang dan ombak besar melanda sejak kelmarin.

Pesisir pantai sepanjang lebih lapan kilometer itu turut membabitkan kawasan perniagaan dan perumahan penduduk di Pantai Rusila, Pantai Rhu Dua dan Pantai Rhu Muda.

Keadaan itu membimbangkan peniaga dan penduduk yang mungkin berhadapan dengan kerugian jika keadaan air pasang besar yang berlaku menghakis dan merobohkan sebahagian daripada rumah dan kedai serta calet terbabit.

Seorang penduduk di Rhu Muda, Wan Zaleha Wan Ismail, 65, yang bimbang dengan fenomena itu berkata, beberapa buah rumah, kedai dan calet dibina di kampung itu juga menunggu masa untuk roboh jika ombak besar berlaku secara berterusan.

“Ini kerana sebahagian daripada tebing pantai tersebut sudah terhakis. Bahagian belakang kedai saya juga telah roboh akibat ombak besar melanda sejak malam tadi (kelmarin),” katanya ketika ditemui di Pantai Rhu Muda di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, Mohktar Awang, 76, berkata, ombak besar mula berlaku sejak awal pagi kelmarin, di mana hakisan yang berlaku telah merosakkan beberapa buah kedai yang berhadapan dengan laut dalam tempoh singkat.

Menurutnya, dalam kejadian terbaru itu, air pasang menyebabkan bahagian belakang kedainya turut mengalami kerosakan, manakala puluhan penduduk tinggal berdekatan pantai bimbang akan mengalami nasib sama selepas ini.

Sementara itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rhu Muda, Hassan Awang, 58, berkata, jika dahulu kedudukan rumah di persisiran pantai itu agak jauh dari laut, namun keadaannya kini sudah berubah.

“Kebanyakan rumah penduduk hanya tinggal beberapa meter dari laut dan masalah ini menyebabkan penduduk hidup dalam ketakutan. Jika masalah hakisan pantai ini tidak dibendung tidak mustahil perkampungan ini boleh lenyap.

“Kejadian terbaru ini turut mengakibatkan kedai milik anak saudara dan sebuah calet berdekatan rumah saya rosak selepas dihempas ombak. Bahagian belakang chalet runtuh apabila pantai teruk dihakis dalam kejadian ombak besar kelmarin,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Hassan berkata, kebanyakan penduduk di kawasan pantai sudah pasti tidak lena tidur sepanjang fenomena ombak besar itu melanda pantai negeri ini kerana bimbang dengan keselamatan mereka.

Seorang warga emas, Ahmad Muda, 68, dari Rhu Renggeh pula berkata, pemimpin setempat perlu mengemukakan permohonan kepada kerajaan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah bagi membina benteng penahan hakisan di kawasan terlibat.

“Kerajaan perlu sedar dengan kebimbangan penduduk yang terancam dengan ancaman hakisan pantai dan berusaha membantu menyelesaikan masalah. Saya cadangkan agar pemimpin setempat mengemukakan permohonan kepada kerajaan.

“Rata-rata penduduk yang tinggal berdekatan pantai bersetuju jika kerajaan membina banteng penahan hakisan bagi mengatasi masalah yang menimpa penduduk yang tinggal di kawasan pantai daerah ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Pegawai Pembangunan Dun Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku meminta penduduk di kawasan terbabit mengambil langkah selamat dengan berpindah ke rumah ahli keluarga mereka buat sementara waktu.

Mengenai cadangan membina benteng itu, katanya, ia bergantung kepada kesesuaian keadaan kerana fenomena ombak besar seumpama itu jarang berlaku di daerah berkenaan, namun perkara itu akan dipanjangkan kepada pihak kerajaan untuk tindakan lanjut.