Search This Blog

Thursday, December 29, 2011

Kakak mati atas pangku

KULIM: Hanya laungan ‘kak’ sebanyak dua kali mampu dijeritkan oleh seorang gadis apabila melihat motosikal yang dinaiki kakak angkatnya hilang kawalan secara tiba-tiba sebelum merempuh sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Padang Serai-Kuala Ketil, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi berhampiran Sungai Karangan itu, mangsa Nor Azliyana Rosle, 23, dari Taman Mutiara, Sungai Kob, dekat sini, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.


Lebih memilukan apabila pemegang motosikal Honda Wave yang dinaiki mangsa turut melekat pada bahagian depan sebelah kiri lori terbabit akibat tercabut dipercayai disebabkan rempuhan kuat.

Adik angkat mangsa, Nor Fazlin Idayu Ali, 14, berkata, mereka dalam perjalanan menuju ke Pendang secara berasingan yang mana dia membonceng motosikal ditunggang adik mangsa, Nor Azri Izati, 16, manakala arwah menunggang sendirian.


Menurutnya, ketika berada di kawasan Sungai Karangan menuju ke arah Padang Serai, arwah berada di hadapannya pada jarak kira-kira 50 meter.


“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami berdua terkejut apabila secara tiba-tiba motosikal ditunggangi arwah terus memasuki laluan bertentangan.

“Terkejut dengan kejadian itu, kami menjerit ke arah arwah selepas melihat sebuah lori kecil berada di laluan bertentangan dan dalam sekelip mata saja terdengar bunyi dentuman apabila motosikal arwah bertembung dengan lori,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini.


Menurutnya, akibat daripada pertembungan itu, arwah terpelanting di bahu jalan bersama dengan motosikalnya.

Katanya, dalam keadaan panik, mereka memberhentikan motosikal lalu terus mendapatkan arwah yang ketika itu berada dalam keadaan nazak.


“Kami terus memangku arwah dan ketika itu dia sudah tidak sedarkan diri selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala. Orang ramai yang turut berada di tempat kejadian menghubungi ambulans, namun arwah disahkan sudah meninggal dunia sebaik ambulans tiba.


“Kejadian ini membuatkan kami rasa begitu sedih kerana pagi tadi (semalam) dan semalam (kelmarin) sebelum bertolak ke Pendang, kami bertiga sempat bergurau senda seperti biasa dan arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan.


“Arwah seorang yang baik dan juga aktif dalam aktiviti pasukan sukarela beruniform apabila menyertai Askar Wataniah dan pasukan Rela. Kini kami sudah kehilangannya buat selama-lamanya dalam sekelip mata,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Chin Su Song berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kemalangan itu kira-kira jam 11 pagi sebelum sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan.

myMetro | Kakak mati atas pangku:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment