Search This Blog

Thursday, December 15, 2011

‘Jumpa lagi bagi sebat’

KLANG: “Kalau saya jumpa lagi kamu di mahkamah, saya bagi kamu hukuman sebat,” kata Hakim Nor Sharida Awang ketika menjatuhkan hukuman penjara terhadap dua remaja lelaki yang mengaku salah merompak lelaki Nepal, di Bandar Bukit Tinggi, April lalu.

Terdahulu, Nor Sharida menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan 20 bulan masing-masing terhadap Mohd Sabri Ning, 19, dan rakannya yang berusia 17 tahun pada masa kejadian dan memerintahkan ia berjalan mulai tarikh tangkap iaitu pada 30 April lalu.


Beliau turut mengingatkan kedua-dua tertuduh supaya memanfaatkan usia muda untuk mencari rezeki menerusi jalan yang betul.

“Saya tidak jatuhkan hukuman berat untuk memberi peluang kepada kamu. Saya tidak jatuhkan hukuman sebat. “Lain kali, jangan cari jalan singkat untuk cari duit, tetapi perlu berusaha dan bekerja,” katanya. Mohd Sabri dan rakannya mengaku salah merompak Achchhe Kumar Chaudry, 24, dan melarikan telefon bimbit milik mangsa di Jalan Batu Nilam 4, Bandar Bukit Tinggi pada jam 8 pagi, 18 April lalu. Kejadian itu menyebabkan mangsa kerugian RM350.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan. Terdahulu, Sabri yang berasal dari Kota Marudu, Sabah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan hanya berusia 19 tahun pada masa kejadian.


Rakannya yang berasal dari Semporna, Sabah pula memohon mahkamah mengambil kira latar belakang pendidikannya yang hanya tamat tingkatan tiga. Berdasarkan fakta kes, Achchhe Kumar ketika sedang berjalan kaki dirompak oleh Sabri dan rakannya pada 18 April tahun ini.

Bagaimanapun pekerja asing itu secara tiba-tiba terserempak dengan kedua-dua remaja itu hampir dua minggu selepas kejadian.


Achchhe Kumar kemudian dapat menangkap kedua-dua tertuduh dan menyerahkan mereka kepada polis. Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aimi Syazwani Sarmin.

myMetro | ‘Jumpa lagi bagi sebat’:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment