Datuk Ir Ahmad Husaini (kanan) melihat bahan pameran selepas majlis perasmian
BATU FERRINGHI - Dua jambatan yang merintangani Sungai Jelok dipercayai antara punca yang menyebabkan banjir kilat berlaku di Bandar Kajang Jumaat lalu.

Pengarah Sumber Air dan Hidrologi Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Ir Hanapi Mohammad Noor berkata, kedua-duanya didapati tidak mempunyai paras selesa di bawah jambatan.

Selain itu, rizab sungai yang sepatutnya digunakan untuk projek tebatan banjir masih didiami 21 peniaga gerai sementara milik Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)

Ir Hanapi berkata, hujan lebat selama dua jam menjadikan jumlahnya meningkat dua kali ganda kepada 80 milimeter (mm) sehingga mengakibatkan paras sungai naik mendadak dan menyebabkan berlaku limpahan.

Menurutnya, hujan lebat luar biasa itu menyebabkan jambatan yang rendah menyekat sampah sarap yang dibuang oleh individu yang tidak bertanggungjawab seperti kayu dan plastik di bawahnya hingga mengganggu kelancaran aliran.

"Ditambah pula dengan rizab sungai yang sepatutnya dibangunkan sejak setahun lalu tidak dapat diteruskan kerana MPKj masih belum dapat memindahkan 21 peniaga kerana terdapat perjanjian antara mereka.

"Kami sudah melaksanakan projek banjir dengan mendirikan dinding banjir sepanjang satu kilometer (km) dengan ketinggian dua meter dari tebing Sungai Jelok tetapi disebabkan wujudnya gerai itu sebahagian projek sepanjang 200 meter tertangguh sejak setahun lalu," katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas majlis perasmian Persidangan Pengurusan Sungai Antarabangsa Abad ke-21 oleh Ketua Pengarah JPS, Datuk Ir Ahmad Husaini Sulaiman di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC), Prof Dr Nor Azazi Zakaria.

Ir Hanapi berkata, pihaknya mendapati masalah banjir di kawasan itu boleh diatasi dengan menaik taraf atau menukar dua jambatan terbabit tetapi semunya bergantung kepada peruntukan yang diberi kerajaan.

"Jika perpindahan peniaga terbabit dapat dilaksanakan segera oleh MPKj, projek itu dapat disiapkan dalam tempoh enam bulan dan kebarangkalian untuk berlakunya banjir adalah agak rendah," katanya.