Search This Blog

Monday, December 19, 2011

Inkues keempat kes kehilangan bayi di Australia

SYDNEY 18 Dis. - Kerajaan Australia akan membuka inkues baru terhadap kontroversi kehilangan seorang bayi perempuan, Azaria Chamberlain lebih 30 tahun lalu di Ayer's Rock, sebuah destinasi popular di kawasan pedalaman tengah negara ini.

Menurut jurucakap kerajaan hari ini, inkues tersebut akan menjadi yang keempat dalam kes kematian bayi itu, yang mendapat perhatian antarabangsa selepas ibunya, Lindy Chamberlain-Creighton, disabit kesalahan membunuh pada 1980 dan dipenjara seumur hidup.

Sabitan itu bagaimanapun kemudiannya dibatalkan. Sabitan terhadap bapa bayi, Michael Chamberlain, sebagai tambahan selepas fakta juga kemudian dibatalkan.

Kedua ibu bapa Azaria tetap mempertahankan bayi itu dilarikan oleh anjing liar dari khemah mereka. Kes itu menarik perhatian ramai sehingga mencetus idea penghasilan drama termasuk sebuah filem Cry in the Dark pada 1988 yang dilakonkan oleh Meryl Streep.

Jurucakap Jabatan Keadilan Wilayah Utara Australia berkata, inkues baru itu diarahkan pada Februari lalu, tanpa menjelaskan sebarang sebab.

Ayer's Rock atau Uluru dalam bahasa penduduk asli Australia adalah monolit di kawasan kontang negara ini dan menjadi antara tarikan utama pelancong. - REUTERS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

No comments:

Post a Comment