Impian enam sahabat berkecai

SEREMBAN - Semangat berkobar-kobar enam lelaki untuk berkhidmat dengan sebuah jabatan kerajaan hancur lebur setelah mengesyaki diperdaya oleh seorang lelaki yang mendakwa boleh menguruskan ke­masukan mereka tanpa perlu me­lalui proses temu duga.

Individu hanya dikenali sebagai Botak, berumur sekitar 20-an memberitahu enam sahabat terbabit, kakak angkatnya yang dikatakan bertugas di jabatan berkenaan di Putrajaya memberi peluang kepada seramai 75 individu untuk memenuhi kuota kemasukan.
Setiap pemohon diminta membayar RM200 yang kononnya diperlukan untuk proses kemasukan tanpa sebarang dokumentasi itu.
Lima daripada lelaki terbabit menyerahkan wang yang diminta kepada Botak, malah ada antara mereka yang sanggup berhenti kerja akibat terlalu yakin mendapat peluang pekerjaan dijanjikan Botak.
Salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zainal, 27, berkata, mereka berjumpa dengan Botak di sebuah kedai makan di Felda Palong 6, Jempol, pada 25 November lalu.
“Kami memang betul-betul percaya dengan janji Botak untuk membantu mendapatkan pekerjaan di jabatan kerajaan berkenaan.
“Setelah menerima wang, Botak meminta kami semua menunggunya di Batu 4, Port Dickson kerana kakak angkatnya akan datang menjemput kami untuk dibawa ke pusat latihan jabatan terbabit pada 28 November lalu,” katanya di Pejabat Sinar Harian di sini, semalam.
Bagaimanapun kata Zainal, Botak dan kakak angkatnya tidak muncul walaupun dia dan rakannya menunggu di lokasi sama sehingga 30 November lalu.
Sementara itu, seorang mangsa yang hanya dikenali sebagai Husin, 28, berkata, kakak angkat Botak memberikan ala­san tidak dapat berjumpa mereka kerana dia perlu menunggu surat kebenaran daripada jabatan berkenaan.
“Akibat tidak yakin dengan alasan itu, saya kemudiannya menghubungi Botak untuk mendapatkan penjela­san namun dia memberitahu akan berjumpa kami, keesokannya.
“Botak juga berjanji untuk membawa kakak angkatnya bersama dan akan memulangkan wang yang diambil daripada kami,” katanya.
Husin berkata, sehingga kini Botak masih belum memulangkan wang mereka dan dia juga gagal dihubungi.
Sehubungan itu katanya, dia dan rakan lain membuat laporan tentang kegiatan Botak di Balai Polis Senawang dekat sini, 1 Disember lalu.