Search This Blog

Monday, December 19, 2011

Gigil disamun RM5,000

ALOR GAJAH: Seorang kerani sebuah agensi kerajaan melalui detik cemas selepas beg tangannya diragut dua lelaki ketika membayar bil elektrik di bandar ini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 petang itu, Norulliza Janal, 24, kerugian hampir RM5,000 apabila dua lelaki tidak dikenali menaiki Proton Waja gelap meragutnya. Norulliza berkata, ketika kejadian dia yang sedang berjalan kaki berhampiran sebuah restoran makanan segera ternampak sebuah kereta Waja bergerak perlahan dan menyangka pemandunya hendak mencari ruang petak kereta.


“Tiba-tiba Proton Waja itu berhenti berhampiran saya sambil penumpang sebelah kiri pemandu menurunkan tingkap cermin dan rentap beg saya sebelum melarikan diri.

“Ketika itu saya terlalu panik serta badan menggigil dan tidak mampu menjerit meminta tolong,” katanya.


Menurutnya, dia tidak dapat mengecam lelaki yang meragutnya kerana kejadian berlaku pantas.


Katanya, beg dilarikan penjenayah itu mengandungi wang tunai RM800 untuk membayar elektrik, kad bank, dua MyKid anak, telefon bimbit Samsung dan kunci keretanya.

“Akibat kejadian itu, saya terpaksa pecahkan cermin kereta sebelum menundanya ke bengkel kereta di Tampin dan menukar satu set kunci dengan kos RM1,400 kerana bimbang kereta pula dicuri,” katanya.


Norulliza kemudian menghubungi suaminya, Hasnol Md Sharif, 35, memaklumkan kejadian yang berlaku membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, dekat sini, sejurus kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shahruddin, mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata siasatan lanjut sedang dilakukan.

myMetro | Gigil disamun RM5,000:

No comments:

Post a Comment