Sabtu(kanan)-bersama-sama-anggota-penyelam-daripada-Pasukan-Gerakan-Marin-Pulau-Pinang-menaikkan-ran
KANGAR - Polis berjaya menumpaskan kegiatan curi motosikal dikepalai oleh Geng Gonchar yang bermaharajalela di sekitar negeri ini apabila menangkap empat ahli kumpulan itu termasuk seorang pelajar sekolah berusia 16 tahun dalam dua siri tangkapan baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, ketiga-tiga suspek ditahan yang terdiri daripada penganggur dan mekanik itu berusia lingkungan 16 hingga 25 tahun dan masih dalam tahanan reman sehingga 27 Disember ini, manakala seorang lagi diberi jaminan polis.

Menurutnya, polis masih memburu tiga individu disyaki ahli kumpulan itu yang masih bebas bagi menyelesaikan beberapa siri kes kecurian motosikal dan kesemuanya berumur antara 19 tahun hingga lewat 20-an.

“Selain itu, hasil penahanan empat suspek membolehkan polis menemui 12 kerangka motosikal jenis Honda EX5, tiga kerangka Modenas Kriss, tiga kerangka Yamaha dan dua penutup enjin yang dilupuskan di dalam Sungai Panggau, Tok Kuning dan anak-anak sungai
sekitarnya dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin Pulau Pinang.

“Kesemua mereka yang terlibat dikenal pasti merupakan rakyat Perlis dan polis tidak menolak kemungkinan kesemua mereka bertindak sebagai orang tengah yang ditugaskan mencuri motosikal untuk mendapat komponen.

“Polis turut percaya kegiatan Geng Gonchar sudah lama berdasarkan bilangan keseluruhan kerangka motosikal berjumlah 20 buah yang dijumpai selain masih berusaha mencari dalang utama kegiatan kumpulan ini,” katanya pada sidang media di bilik sidang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, di sini semalam.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Kangar, Asisten Superintendan Sabtu Md Ali dan Ketua Pasukan Khas (Task Force) yang ditubuhkan bagi menyiasat dan menumpaskan kegiatan Geng Gonchar, Sarjan Zulkifli Othman.

Kes tangkapan Geng Gonchar dan rampasan kerangka 20 motosikal akan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan di bawah kesalahan mencuri kenderaan bermotor dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan melebihi tujuh tahun selain boleh dikenakan denda.

Md Zukir berkata, dengan tertangkapnya suspek terlibat, polis Perlis sehingga kini berjaya menyelesaikan 13 kes curi motosikal melibatkan kumpulan itu atau 32.05 peratus berbanding keseluruhan jumlah kes kecurian motosikal sepanjang tahun sebanyak 351 kes.

“Berdasarkan statistik kecurian motosikal di seluruh Perlis sepanjang tahun ini, pihak kami berjaya menyelesaikan 79 kes yang mewakili 22.51 peratus daripada keseluruhan jumlah kes sama.

“Statistik yang diperoleh turut menunjukkan peningkatan positif polis Perlis apabila berjaya mengurangkan 62 kes kecurian motosikal pada tahun ini berbanding 413 kes pada 2010,” katanya.

Md Zukir turut menggesa orang awam meningkatkan kerjasama dengan polis dengan menyalurkan maklumat sekiranya mendapati terdapat aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing bagi membolehkan tindakan susulan.