Empat lari bertempiaran
BESUT - Empat bersaudara bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila sebuah rumah yang mereka diami terbakar dalam kejadian ketika hari hujan di Kampung Lak Lok Dalam dekat Alor Selising, Jertih, di sini semalam.

Mangsa, Siti Hasmah Taji Mohamad, 25, berkata, kejadian jam 7.30 pagi semalam itu berlaku ketika dia bersama seorang anak saudara dan dua sepupunya sedang tidur di dalam dua bilik berasingan di dalam rumah terbabit.

Menurutnya, dia terhidu bau hangit seperti sesuatu terbakar di bahagian dapur rumah dan selepas diperiksa mendapati penjuru dapur yang menempatkan ruang yang ditutup dengan almari telah terbakar.

“Sebaik menyedari kejadian itu saya terus mengejutkan anak saudara saya, Aqil Qayyim Ramadan Azwan, 4, dan dua sepupu Syazaliani Shamsuddin, 15 serta Mohd Said Ismail, 21, yang sedang tidur untuk menyelamatkan diri.

“Kami keluar sehelai sepinggang tanpa sempat menyelamatkan harta benda termasuk dokumen penting,” katanya.

Siti Hasmah berkata, ketika kejadian dua sepupunya tidur di rumah berkenaan untuk menemaninya kerana ibunya, Siti Mariam Ab Fatah, 55, tidak ada di rumah kerana melawat saudara yang sakit di Bachok, Kelantan.

Menurutnya, kebakaran itu menyebabkan sebuah motosikal milik bapanya yang bekerja di Kuala Lumpur musnah, termasuk beberapa set pelamin milik kakaknya untuk disewakan.

Siti Mariam berkata, dia redha dengan kejadian itu walaupun rumahnya musnah, kerana yang paling penting nyawa anak, cucu dan anak saudaranya yang berada di dalam rumah itu selamat.

Dia menganggarkan kerugian yang dialami melebihi RM100,000.

Sementara itu menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, Zuzuki Safei, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.39 pagi lalu menghantar tujuh anggota bersama sebuah jentera ke tempat kejadian.

Kata beliau, api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira 10 minit selepas bomba tiba di tempat kejadian dan 90 peratus rumah kayu itu musnah.

“Punca kebakaran dan jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Dalam pada itu pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan antaranya sumba­ngan­ Ahli Parlimen Besut dan Adun Jertih melalui wakilnya.