Search This Blog

Saturday, December 31, 2011

Dua beradik mangsa dera mungkin diserah kepada bapa saudara



BUTTERWORTH 30 Dis. - Kanak-kanak malang yang dirantai di dalam tandas oleh bapa sendiri di Taman Mawar, Jalan Raja Uda di sini akan diserahkan untuk jagaan bapa saudaranya selepas mendapat perintah mahkamah, Selasa ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Kesihatan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan dalam keadaan baik.
Menurutnya, bapa saudara mereka bersetuju untuk menjaga dua beradik itu, namun semuanya bergantung kepada siasatan yang dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tentang keupayaannya menjaga kanak-kanak itu.
"Kita akan menghantar laporan kepada mahkamah pada Selasa ini untuk dapatkan perintah perlindungan sementara sebelum kanak-kanak itu boleh diserahkan kepada bapa saudaranya yang tinggal di Pulau Pinang.
"Buat masa ini mereka masih dirawat di HSJ dan keadaan mereka amat baik biarpun kanak-kanak lelaki itu agak aktif," katanya kepada pemberita selepas melawat dua kanak-kanak itu di HSJ bersama Pegawai JKM Seberang Perai Utara (SPU), Mohd. Rahim Mohd. Alif.
Kanak-kanak malang yang berusia enam tahun dan dua tahun itu diselamatkan oleh pasukan polis dan JKM SPU selepas ditemui dirantai dalam keadaan separuh bogel di dalam tandas rumah mereka ketika bapa mereka keluar bekerja.
Menurut Boon Poh, pihaknya juga akan memberi kaunseling kepada kanak-kanak itu yang masih trauma dengan kejadian yang menimpa mereka serta khidmat nasihat kepada bapa mereka bagi mencari punca kejadian terbabit berlaku.
"Pada masa sama, kita cuba mengesan ibu mereka yang dipercayai kembali ke Thailand agar dapat menjaga kanak-kanak terbabit sekiranya bapa mereka didakwa di mahkamah," katanya.
Sementara itu, Mohd. Rahim berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan kesihatan kanak-kanak terbabit bagi memastikan mereka tidak mengalami sebarang penyakit serius.
-utusan

No comments:

Post a Comment