Search This Blog

Monday, December 19, 2011

Dua beradik digulung ombak

BANDAR PENAWAR: “Ini kali pertama keluarga kami berkelah di sini dan dalam tempoh setengah jam, saya kehilangan dua anak sekali gus,” kata Zuraini Adnan, 47, ketika ditemui di Pantai Desaru di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, dua anak Zuraini, Mohd Fazli Fauzi, 23, yang juga pekerja kilang dan adiknya, Zulkhairi, 16, pelajar tingkatan empat Sekolah Seni Johor Bahru, lemas dihanyutkan ombak ketika mandi laut.


Bapa dua beradik itu, Mohd Fauzi Aliuddin, 49, kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor, cuba membantu, tetapi dia sendiri hampir lemas sebelum diselamatkan pengunjung lain.

Zurani berkata, keluarganya berasal dari Tiram sampai di pantai itu pada jam 12 tengah hari untuk berkelah sempena hujung minggu.


“Ini kali pertama kami sekeluarga berpeluang berkelah di sini dan ketika kejadian saya berada di tepi pantai bersama anak yang lain manakala Fazli dan Zulkhairi pula mandi.


“Entah bagaimana, kedua-duanya tiba-tiba dihanyutkan ombak. Suami cuba membantu, tetapi tidak berdaya, saya cukup sedih kehilangan dua anak sekali gus,” katanya yang reda dengan kejadian itu dan menganggapnya sebagai ketentuan Ilahi.

Saksi kejadian, Mohd Nabil Shafie, 26, berkata, sebelum kejadian, dia menemani adiknya di gigi air dan melihat dengan jelas dua beradik itu berenang kira-kira 30 meter dari pantai.


“Tiba-tiba ombak besar memukul kawasan mereka mandi. Saya nampak ombak menggulung dua beradik itu ke laut.

“Mereka tenggelam kerana gagal berenang, bapa mereka cuba membantu, tetapi dia juga nyaris lemas sebelum dibantu pengunjung lain. Jenazah Fazli ditemui tidak lama kemudian apabila dihanyutkan ombak ke pantai, tetapi adiknya masih hilang,” katanya.


Menurut Nabil, keadaan laut yang bergelora dengan ombak besar menyebabkan orang ramai yang bersimpati terhadap keluarga berkenaan tidak mahu mengambil risiko turun ke laut kerana bimbang turut menjadi mangsa.


Suasana di pantai berkenaan pula seolah-olah sepi dengan sebahagian besar pengunjung bertumpu di gigi pantai dengan harapan dapat menemui Zulkhairi, tetapi sehingga malam tadi, mayatnya belum ditemui.


Keluarga dua beradik itu pula ditenangkan orang ramai yang turut bersimpati dengan tragedi terbabit.


Jenazah Fazli kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT).

myMetro | Dua beradik digulung ombak:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment