Search This Blog

Tuesday, December 6, 2011

‘Drebar bas kami tak lari’

myMetro | ‘Drebar bas kami tak lari’:

KUALA LUMPUR: Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) menafikan laporan media bahawa pemandu bas RapidKL melarikan diri selepas melanggar dua pejalan kaki di Jalan Tun Sambanthan petang kelmarin.

Pengarah Kumpulan Bahagian Bas, Prasarana, Zohari Sulaiman, berkata pemandu bas terbabit sudah menghentikan kenderaan itu dan membantu pejalan kaki yang cedera.


“Bagaimanapun, polis di tempat kejadian membawanya ke balai polis untuk merekodkan kenyataannya dan mencegah insiden yang tidak diingini di tempat kejadian.

“Andaian bahawa pemandu melarikan diri tidak berasas dan tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.


Zohari berkata, ketika ini pemandu terbabit digantung tugas buat sementara sehingga inkuiri dalaman berhubung perkara itu selesai kerana terdapat dakwaan dia memandu laju ketika kejadian.


“Bagi perkhidmatan kami, ia berjalan seperti biasa,” katanya.

Zohari mendakwa, ketika kejadian 3.30 petang itu, pemandu bas syarikat itu tidak dapat membrek dengan segera apabila dua pejalan kaki itu memasuki laluan bas untuk menyeberang jalan dan hanya memerhati laluan trafik sehala tanpa mengetahui jalan itu lorong dua hala.


“Syarikat juga sudah membuat laporan polis berhubung vandalisme selepas kejadian dengan cermin depan bas dipecahkan,” katanya.

Katanya, kejadian itu amat malang, tetapi masih boleh dielakkan jika semua pihak bekerjasama dan faham mengenai perubahan laluan trafik di kawasan itu.


Zohari mencadangkan supaya kehadiran polis dan pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditingkatkan di kawasan itu bagi memastikan orang ramai melintas di kawasan yang ditetapkan selain meletakkan papan tanda jelas mengenai perubahan lorong bas lawan arus.


Ini perlu memandangkan lima kemalangan dilaporkan sejak dua hari lepas di kawasan itu berikutan perubahan trafik itu. — Bernama

No comments:

Post a Comment