Search This Blog

Monday, December 19, 2011

Ditindih tayar masih hidup

KUCHING: Dua sahabat terselamat walaupun terbenam selama setengah jam dalam lumpur akibat ditindih sebuah kereta yang merempuh mereka dalam kejadian di Batu 4, Jalan Penrissen di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa yang masing-masing berusia 17 dan 21 tahun itu terselamat apabila motosikal dinaiki dirempuh kereta yang dipandu seorang wanita menyebabkan mereka terpelanting ke dalam longkang sebelum ditindih kenderaan berkenaan.


Menurut pemandu kereta berusia 37 tahun itu, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke rumah seorang rakan di kawasan berkenaan sebelum merempuh motosikal mangsa ketika hendak membuat pusingan di Jalan Datuk Tawi Sli.

“Saya tidak menyedari terdapat sebuah motosikal di sebelah kereta saya ketika membuat pusingan untuk patah balik ke Batu 4, menyebabkan saya tidak sempat menekan brek dan merempuh mereka,” katanya.


Katanya, akibat gagal mengawal kenderaannya selepas rempuhan itu, keretanya terbabas ke dalam longkang di tepi jalan dan pada masa sama juga dua pemuda yang menunggang motosikal berkenaan terperangkap di bawah kereta.


“Saya terkejut apabila mendapati kedua-dua mangsa terbaring dalam longkang dan ditindih kereta saya. Mujur longkang itu kering, namun berlumpur dan mangsa dikeluarkan dengan bantuan bomba dan penyelamat.

“Bagaimanapun mereka terpaksa menunggu selama kira-kira setengah jam sebelum dapat dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya.


Difahamkan, seorang daripada lelaki berkenaan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), namun dilaporkan dalam keadaan stabil, manakala seorang lagi mengalami luka di badan dan menerima rawatan di wad biasa HUS.

myMetro | Ditindih tayar masih hidup:

No comments:

Post a Comment