Search This Blog

Thursday, December 29, 2011

Diancam buaya

KUCHING: Selain ancaman banjir, penduduk Kampung Beradek, Pulau Semilang, dekat sini, turut berdepan kebimbangan selepas menyaksikan kemunculan kelibat beberapa buaya berkeliaran berhampiran kawasan rumah mereka.

Reptilia sepanjang tiga hingga empat meter itu sering dilihat berjemur di kawasan sungai sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk kemungkinan haiwan itu masuk ke rumah mereka yang dinaiki air.


Penduduk, Ibrahim Kipli, 68, berkata, buaya itu mungkin masuk ke kawasan kampung melalui pintu air berikutan paras sungai meningkat dan melimpah akibat hujan lebat diikuti air pasang besar.

Katanya, memang penduduk mengakui terdapat banyak buaya berkeliaran di kawasan sungai sekitar Pulau Semilang, namun buat masa ini, belum ada penduduk menjadi korban haiwan ganas berkenaan.


“Namun, kebimbangan penduduk tetap ada terutama selepas paras sungai terlalu tinggi menyebabkan buaya boleh bergerak sehingga masuk ke pintu air dan mengancam keselamatan penduduk,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.


Sementara itu, lebih 400 penduduk Kampung Beradek bersama Tiang Api, Semilang, Beradek Cina dan Sungai Pinang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Beradek, selepas rumah mereka dinaiki air antara 0.5 hingga 0.8 meter.

Tinjauan Harian Metro mendapati banjir di kampung menunjukkan tanda untuk pulih, namun air pasang besar serta hujan tidak berhenti pada setiap petang dan malam menyebabkan rumah penduduk kembali ditenggelami.


Menurut Ibrahim, paling membimbangkan adalah kanak-kanak, terutama di Kampung Tiang Api yang terletak agak rendah kerana mereka gemar bermain air banjir serta terdedah kepada ancaman haiwan berbisa.

“Sekiranya buaya terlepas ke kawasan kampung, kanak-kanak yang suka bermain air berisiko diserang kerana mereka yang terlebih dulu dilihat memasuki parit kecil sekitar kampung,” katanya.

myMetro | Diancam buaya:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment