Search This Blog

Saturday, December 31, 2011

Dadah: Pereka hiasan dihukum gantung



SHAH ALAM 30 Dis. - Seorang pereka hiasan dalaman dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar lebih tiga kilogram dadah jenis syabu semasa pulang daripada percutian di Paris, tujuh tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu terhadap Lee Boon Kwang, 40, selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.
Beliau dalam penghakimannya menolak pembelaan tertuduh yang mendakwa dia tidak mempunyai pengetahuan tentang dadah di celah beg selain menafikan beg tersebut kepunyaannya.
Katanya, terdapat dua percanggahan berhubung pemilik beg tersebut kerana di peringkat pendakwaan beg itu dikatakan milik seorang bernama Tian Wei Jun manakala di peringkat pembelaan tertuduh mendakwa milik Park Hee Chiong.
Boon Kwang yang berasal dari Johor Bahru, Johor dan berkerja di Singapura didakwa mengedar 3,984.4 gram syabu (methamphetamine) di Pejabat Narkotik, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada pukul 7.10 pagi, 25 September 2004.
Dia dibicarakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman manakala tertuduh diwakili peguam Zamani Dolmat yang menyebut bagi pihak James George.
Sebelum ini, tertuduh dihukum penjara 14 tahun dan sebatan 10 kali selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan pindaan memiliki dadah yang sama mengikut Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952 di akhir kes pendakwaan.
Dia bagaimanapun diperintah membela diri atas tuduhan mengedar dadah selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang meminda pertuduhan tersebut.
-utusan

No comments:

Post a Comment