LEDANG – Seorang pekerja bengkel membaiki jentera yang sudah berkahwin tergamak mengaku bujang apabila disoal siasat oleh penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL) ketika dicekup berkhalwat awal pagi semalam.

Lelaki berusia 29 tahun dan pasangannya berusia 21 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu, ketika sedang berdua-duaan dalam sebuah rumah di Batu 1 ½ Tanjung Agas, di sini untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, lelaki terbabit mengaku sudah tujuh tahun berkahwin dan memiliki dua anak yang kini menetap di Melaka selepas didesak oleh PPADL.

Dia juga mendakwa datang ke rumah teman wanitanya hanya ingin berehat seketika tetapi tertidur kerana keletihan selepas pulang bekerja dari Johor Bahru.

Manakala pasangannya adalah warganegara Kemboja dan baru sahaja memeluk agama Islam pada Julai lalu.

Mereka telah berkenalan sejak setahun lalu dan bercadang untuk mendirikan rumah tangga bersama pada April tahun depan.

Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota yang diketuai Pegawai Penguatkuasa, Zainal Kadiran memeriksa rumah tersebut.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki yang hanya berseluar dalam membuka pintu.

“PPADL terpaksa menunggu hampir 15 minit sebelum lelaki berkenaan membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang remaja perempuan memakai baju-T paras lutut pendek sedang baring di atas tilam,” katanya kepada Sinar Harian.

Pasangan itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

“Mereka dibawa ke Balai Polis Sungai Mati dan Balai Polis Sagil untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke Pejabat Agama untuk siasatan lanjut, sebelum dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing,” katanya.

Katanya lagi, mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.