Zamri-Shamsuddin
KUALA TERENGGANU- Angkara dendam lama, seorang buruh seolah-olah dirasuk hantu dengan bertindak membelasah rakan sekampungnya sehingga hampir pecah kepala dalam satu kejadian di Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal, di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian itu, suspek, 24, dari Kampung Bukit Tunggal, di sini, dipercayai membelasah mangsa berusia 20-an menggunakan kunci pendua motosikal (kunci Fox) menyebabkan mangsa terpaksa menerima beberapa jahitan di bahagian kepala sebelah kanan.

Sinar Harian difahamkan, suspek sememangnya selama ini memburu mangsa kerana ingin membalas dendam terhadap mangsa yang didakwa pernah memukulnya sebelum ini.

Disebabkan itulah, suspek tidak melepaskan peluang dan langsung tidak menghiraukan persekitaran sejurus ternampak mangsa yang ketika itu sedang membeli barang di tapak pasar malam berkenaan.

Susulan kejadian itu, suspek ditahan di kediamannya pada hari kejadian dan kini direman sehingga 14 Disember depan untuk disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

Bagi kesalahan itu, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi Sinar Harian, semalam mengesahkan menerima laporan kejadian.