Search This Blog

Wednesday, December 7, 2011

Anak mangsa ragut minta polis tangkap penjenayah

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:




WARI Musa (kanan) bersama anak-anaknya, Mohammad Hafizuddin, Nor Atikah membaca berita mengenai kematian isterinya, Siti Delima Aladdin ketika mengejar peragut di Kampung Keluat, Beris Kubur Besar, Bachok, Kelantan, semalam.



BACHOK 6 Dis. - Anak kepada mangsa ragut yang terbunuh ketika cuba mengejar penjenayah itu di Kampung Keluat, Beris Kubur Besar dekat sini, kelmarin, menggesa polis menangkap penjenayah terbabit dan mengheretnya ke muka pengadilan.
Anak sulung Siti Delima Aladdin, Mohammad Hafizuddin Wari, 19, berkata, hanya itu sahaja cara yang dapat memberi pengajaran kepada golongan tersebut.
Dia turut berharap jenayah ragut diberi perhatian oleh pihak berkuasa termasuk meningkatkan operasi membanteras pengedaran dan penagihan dadah yang dikatakan punca berlakunya jenayah terbabit.
"Saya yakin kejadian ragut memang berpunca daripada penagihan dadah dan mereka sanggup melakukan apa sahaja (jenayah) untuk mendapat sumber kewangan.
"Saya difahamkan di kampung berdekatan memang banyak kes penagihan dadah dan ia pasti berkait rapat dengan kes jenayah termasuk ragut yang menyebabkan ibu saya maut," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Keluat, Beris Kubur Besar, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian itu, Siti Delima, 43, maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar tiang elektrik ketika cuba mengejar peragut yang melarikan dompetnya sejauh enam kilometer.
Anak lelakinya, Mohd. Hishammuddin, 11, yang membonceng motosikal itu bernasib baik apabila hanya cedera ringan.
Mohammad Hafizuddin, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badak berkata, dia kini mengambil alih tanggungjawab ibunya untuk mengurus kehidupan adik-adik di rumah.
"Selama ini segala makan dan minum diuruskan oleh ibu. Saya akan melakukan kerja sedemikian setakat termampu dengan dibantu adik perempuan, Nor Asyikin. Namun yang pastinya, ia tidak sama dengan kasih seorang ibu.
"Tugasan yang lazim dilakukan oleh ibu adalah menghantar adik-adik ke sekolah dan kini sudah pasti menjadi tanggungjawab saya," katanya dalam nada sebak.
Mohammad Hafizuddin berkata, dia tidak akan melupakan kasih sayang arwah ibu mereka yang menjaga adik beradiknya dengan penuh kasih sayang serta memberi didikan agama.

No comments:

Post a Comment