Search This Blog

Tuesday, December 13, 2011

Air sungai masuk kampung

ENDAU: “Ketika air memasuki rumah, kami sedang tidur. Sebaik sedar, kami hanya mampu menyelamatkan diri dengan membawa dokumen penting,” kata Norhidah Awang Kechik, 38, mengenai banjir berpunca benteng penghadang air Sungai Endau yang pecah hingga menenggelamkan empat rumah di Sungai Padang dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, 16 penduduk membabitkan empat keluarga terpaksa dipindahkan ke dewan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Endau, selepas rumah masing-masing dimasuki air.
Norhidah berkata, air sedalam 0.4 meter itu disedari memasuki rumah kira-kira jam 3.00 pagi menyebabkannya bergegas mengejutkan suami yang cacat penglihatan dan tiga lagi anak mereka berusia antara 10 hingga 13 tahun sebelum mereka dipindahkan anggota Bomba dan Penyelamat Endau.
Katanya, sebuah motosikal dan sebahagian perabot di bahagian ruang tamu rumahnya ditenggelami air menyebabkan keluarganya mengalami kerugian yang masih belum dapat ditaksirkan jumlahnya.

“Rumah saya kini masih dipenuhi lumpur, selepas air surut, kami terpaksa membersihkan rumah serta membaiki motosikal yang rosak akibat ditenggelami air masin.

“Motosikal ini penting bagi keluarga saya kerana itulah kenderaan yang digunakan untuk mencari rezeki dengan menjaja kuih di sekitar Pekan Endau,” katanya.

Tinjauan mendapati pihak berkuasa giat menjalankan kerja menyiapkan benteng sementara bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Penduduk, Abu Bakar Mat Ros, 63, berkata kejadian itu sudah dijangkakan selain banjir kerana air laut pasang pada tengah malam serta hujan lebat tidak berhenti sejak petang.

“Sejak awal petang semalam lagi, penduduk sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan kerana kampung ini sering berlaku kejadian banjir berikutan penempatan penduduk terletak di kawasan rendah dan berhampiran sungai, rumah saya turut dinaiki air tetapi tidak sampai tahap kena berpindah,” katanya.

Katanya, sebelum ini kejadian sama pernah berlaku bulan lalu disebabkan benteng pecah dan kali ini benteng sementara yang dibina pecah sekali lagi sehingga gagal menghalang air sungai memasuki kampung.

“Kami berharap benteng lebih kukuh dibina bagi mengurangkan risiko banjir air laut setiap kali berlaku pertembungan air pasang besar dan hujan lebat,” katanya.
Berita Harian Online | Air sungai masuk kampung:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment