Search This Blog

Monday, December 12, 2011

Adik maut pergi menoreh

TAMPIN: “Saya menghubungi adik dua hari lalu dan dia memaklumkan buah kundang di kawasan rumah masak tidak lama lagi,” kata Rusman Buchik, 57, abang sulung kepada Ainoal Azman Buchik, 45, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 33, Jalan Tampin-Gemas, berhampiran Kampung Air Gelugur, Gemencheh, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala dan badan.

Difahamkan, mangsa yang juga penoreh dalam perjalanan ke kebun getah menunggang motosikal Yamaha Sport sebelum dirempuh sebuah kereta.
Rusman berkata, adik bongsunya masih bujang itu tinggal bersama ibu yang uzur di Kampung Tengah, Gemencheh, menghubunginya dua hari lalu selepas lebih sebulan mereka tidak bersua.

“Saya dan isteri tergerak hati untuk pulang ke kampung melawat adik dan ibu, namun tidak menyangka pagi tadi (semalam) saya diberitahu adik terbabit kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Adik juga mengadu kurang sihat apabila penyakit asma menyerang lagi akibat keadaan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini.
“Ketika itu, saya mula berasa bimbang dengan keadaannya apatah lagi dengan ibu sudah uzur. Saya menasihatinya berehat dan tidak bekerja sehingga sembuh sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin, dekat sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut kejadian terbabit masih disiasat.
Sehubungan itu, pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di talian 06-4411221 atau 06-4411222.
myMetro | Adik maut pergi menoreh:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment