Search This Blog

Thursday, December 29, 2011

50 anggota kastam kena tindakan

TUMPAT 28 Dis. - Lebih 50 anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah dikenakan tindakan tataterib atas pelbagai kesalahan termasuk rasuah sepanjang tahun ini, kata Penolong Ketua Pengarah Penguatkuasaan Kastam, Datuk Zainul Abidin Taib.
Menurutnya, tindakan tatatertib tersebut termasuklah buang kerja dan ia menunjukkan JKDM tidak berkompromi dengan mana-mana anggota atau pegawai yang melanggar disiplin sehingga menjejaskan nama baik jabatan.
Beliau berkata, bagi mengatasi masalah itu pihak jabatan telah mengenal pasti tiga program iaitu 'Hot Spot', 'Hot Staff' dan 'Hot Job'.
"Sebagai contoh jika kawasan tersebut dikatakan 'Hot Spot' kita akan kaji dan tukarkan pegawai atau anggota tersebut dalam tempoh setahun begitu juga dengan 'Hot Staff' untuk mereka yang 'nakal',
"'Hot Job' pula untuk mana-mana pegawai yang bertugas di bahagian pentaksir dan terlalu kerap menggunakan budi bicara kita akan tukarkan mereka ke bahagian lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Khidmat Bakti Masyarakat Kempen Mencegah Penyeludupan di Dewan Bunga Raya, Pantai Sri Tujuh, dekat sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan beras kepada wakil-wakil penduduk di kawasan Tumpat untuk diagih-agihkan.
Sementara itu, mengulas mengenai program tersebut, Zainul Abidin memberitahu, ia untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat setempat supaya tampil membantu jabatan itu membanteras aktiviti penyeludupan.
"Kita tahu Tumpat bersempadan dengan Thailand dan menjadi tumpuan aktiviti penyeludupan sejak bertahun-tahun. Ini merupakan salah satu pendekatan yang digunakan untuk merapatkan pihak kastam dengan masyarakat.
"Program ini akan diteruskan ke kawasan-kawasan lain bagi meningkatkan kesedaran kepada masyrakat supaya memberikan kerjasama dalam membanteras aktiviti penyeludupan ini," ujarnya.
Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment