Search This Blog

Thursday, December 29, 2011

4 lelaki ditahan

SHAH ALAM: Sebilah pedang samurai berukir tulisan Cina dipercayai digunakan dalam upacara kongsi gelap antara senjata tajam yang ditemui milik seorang daripada empat lelaki yang ditahan kerana terbabit dalam beberapa kes pecah dan bakar rumah di sekitar Kajang, Semenyih dan Beranang, beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, suspek lelaki berusia 34 tahun itu serta tiga lagi suspek lelaki lain ditahan di sekitar Kajang pada Isnin lalu di kawasan yang dijadikan ‘port’ penagihan dadah. Beliau berkata, keempat-empat suspek yang ditahan itu berusia antara 16 hingga 34 tahun dan ujian air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis syabu dan heroin.


“Suspek berusia 34 tahun didapati positif dadah adalah penganggur dan mempunyai sembilan rekod jenayah lampau.

“Ketika ditahan, polis merampas dua pisau, satu pedang samurai, dua kamera, lapan jam tangan dan dua parang daripada suspek.


“Sebilah pedang perhiasan yang dirampas itu biasanya digunakan dalam upacara kongsi gelap, namun polis masih menyiasat sama ada ia milik suspek ataupun dicuri,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, semalam.


Mengulas mengenai laporan Harian Metro berhubung kes pecah dan bakar rumah di beberapa kawasan di Kajang, Semenyih dan Beranang, Tun Hisan berkata, polis menerima 13 laporan sejak 28 Mei lalu dan setakat ini, 21 suspek sudah ditahan.

“Daripada laporan diterima, enam kes dilaporkan di sekitar Kajang, empat kes di Semenyih dan tiga kes di Beranang.


“Sebanyak 12 daripada 13 rumah yang dipecah masuk tidak berpenghuni sama ada rumah tinggal atau penghuni rumah balik kampung selain keadaan rumah dipenuhi semak,” katanya.

Tun Hisan berkata, dalam kegiatan pecah rumah itu, suspek menggunakan taktik memecah masuk melalui tingkap dan pintu belakang dapur sebelum mencuri dan membakar rumah berkenaan bagi mengaburi polis.


Harian Metro, semalam melaporkan, sekumpulan penyamun yang memecah masuk dan mencuri barangan dari dua banglo di Bandar Rinching, Semenyih di sini, membakar banglo berkenaan dipercayai menghapuskan bukti dalam kejadian awal pagi semalam.


Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, kumpulan terbabit tidak menghiraukan kehadiran anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang berusaha memadamkan kebakaran di rumah pertama, sebaliknya mereka membakar pula rumah kedua yang bersebelahan.


Difahamkan, akibat perbuatan itu, jumlah kerugian membabitkan kedua-dua banglo berkenaan dianggarkan mencecah RM1 juta, namun tiada kemalangan jiwa kerana tiada penghuni ketika kejadian.

myMetro | 4 lelaki ditahan:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment