Search This Blog

Thursday, December 29, 2011

3kg syabu dari Manila dirampas



Oleh Haika Khazi
haikakhazi@bharian.com.my
2011/12/29

  GOVINDEN menunjukkan sebahagian 3kg syabu dari Filipina yang cuba diseludup  seorang mekanik di LCCT, Sepang, semalam.
GOVINDEN menunjukkan sebahagian 3kg syabu dari Filipina yang cuba diseludup seorang mekanik di LCCT, Sepang, semalam.
Kastam tahan mekanik di LCCT 

SEPANG: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menahan seorang mekanik kerana disyaki menyeludup syabu dari Filipina seberat kira-kira tiga kilogram dianggar bernilai lebih RM750,000 di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini, kelmarin.

Pengarah Kastam KLIA, Datuk M Govinden, berkata pemuda tempatan berusia 21 tahun itu ditahan KDRM yang melakukan pemeriksaan terhadap bagasinya sejurus suspek tiba di LCCT dengan menaiki pesawat Cebu Pacific Airlines dari Manila, Filipina, jam 1.30 pagi.
Katanya, suspek yang bekerja di Petaling Jaya, Selangor ditahan selepas imbasan beg dibawanya menunjukkan imej mencurigakan. 

“Pegawai KDRM yang melakukan pemeriksaan fizikal terhadap bagasi suspek menemui 10 bungkusan serbuk putih dipercayai syabu disembunyikan di bawah beg dibalut kertas karbon bagi mengelirukan pihak berkuasa. 

“Ujian awal dilakukan terhadap serbuk putih itu mendapati ia positif dadah jenis Methamphetamine (syabu),” katanya. 

Govinden berkata, suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh digantung mandatori. 
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menahan 24 suspek termasuk enam rakyat tempatan dan 18 warga asing kerana terbabit penyeludupan pelbagai jenis dadah seberat 116.58 kilogram dan dianggarkan bernilai RM27.89 juta menerusi KLIA dan LCCT, dalam tempoh tiga bulan lalu. 

Justeru, katanya, KDRM akan memantau dan memperketatkan pemeriksaan terhadap penumpang, bagasi dan kargo dari seluruh dunia bagi menyekat kegiatan penyeludupan dadah ke Malaysia menerusi laluan udara. 

Katanya, KDRM juga akan menambah anggota penguat kuasa dan menempatkan lebih banyak mesin pengimbas badan dan bagasi untuk mengesan kegiatan penyeludupan dadah di KLIA dan LCCT. 

Beliau berkata, langkah ini perlu kerana sindiket dadah antarabangsa kini didapati sering mengubah strategi dan lokasi untuk menyeludup dadah ke Malaysia. 

No comments:

Post a Comment