Search This Blog

Thursday, December 29, 2011

21 suspek pecah masuk, bakar rumah diberkas

SHAH ALAM 28 Dis. - Polis berjaya memberkas 21 lelaki yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan siasatan 13 kes pecah masuk dan bakar rumah di sekitar Kajang, Semenyih dan Beranang dekat sini yang dilaporkan berlaku sejak 28 Mei lalu sehingga kelmarin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, empat daripada 21 suspek berkenaan ditahan semalam selepas dipercayai terlibat dalam kes sama di Bandar Rinching, Semenyih dekat sini kelmarin.
Beliau berkata, kesemua suspek berusia 16 hingga 34 tahun itu kini direman bagi membantu siasatan.
"Kita percaya dapat menyelesaikan 13 kes tersebut. Bagaimanapun saya minta media laporkan cerita yang betul mengenai kes ini dan jangan timbulkan kegusaran masyarakat dengan fakta dan maklumat tidak benar.
"Saya ingin jelaskan, daripada 13 rumah dipecah masuk, hanya sebuah rumah sahaja berpenghuni ketika dipecah masuk suspek dan mereka biasanya masuk melalui pintu atau tingkap belakang," tegas beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Menurut Tun Hisan, pihaknya juga berjaya menemui semula beberapa barangan yang dilarikan suspek semasa kejadian, antaranya pedang pameran, pisau, kamera dan jam tangan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar menjaga keselamatan diri dan harta benda masing-masing bagi mengelak menjadi mangsa antaranya dengan memastikan rumah sentiasa dikunci.
"Jika ada kejadian mencurigakan di kawasan rumah atau kejiranan anda, segera laporan kepada polis," katanya.
Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment