Search This Blog

Wednesday, November 23, 2011

Warga emas cedera ditikam penyamun



SAPIAH Ali menunjukkan kesan tikaman penyamun pada bahu suaminya, Ibrahim Mamat di rumah mereka di Kampung Banggol Petaling, Pasir Mas, Kelantan, semalam.


PASIR MAS 22 Nov. - Seorang peniaga telur warga emas cedera selepas ditikam di belakang badan serta tangan kirinya oleh dua lelaki yang cuba menyamunnya di sebuah kedai runcit di Kubang Kerian, dekat sini kelmarin.

Kejadian berlaku pukul 1.15 petang ketika mangsa, Ibrahim Mamat, 61, baru sahaja menghantar pesanan pelanggannya ke kedai runcit terbabit.

Menurutnya, selepas urusan penghantaran selesai, dia kembali ke lori sebelum sebuah kereta Proton Iswara berwarna hijau dinaiki empat lelaki berhenti di hadapan lorinya.

"Seorang daripada lelaki itu menghampiri lori saya dan bertanyakan mengenai urusan jualan telur dan berpura-pura untuk membeli.

"Tiba-tiba lelaki itu cuba melarikan beg pinggang saya sehingga berlaku pergelutan dan saya tidak melepaskan beg pinggang itu kerana ia mengandungi wang kira-kira RM3,000 hasil jualan telur," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Petaling, dekat sini hari ini.

Ibrahim berkata, semasa pergelutan berlaku kira-kira 10 minit, datang seorang lagi lelaki dari arah belakang dan menikamnya, namun dia tetap menyelamatkan beg berkenaan daripada dilarikan oleh kedua-dua lelaki berkenaan.

Jelasnya, dia kemudian menjerit menyebabkan kedua-dua lelaki terbabit melarikan diri setelah melihat orang ramai mula datang untuk membantunya.

"Ketika itu saya rasakan bahagian belakang saya panas dan saya lihat banyak darah keluar. Orang ramai yang berada di tempat kejadian menghantar saya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk menerima rawatan.

"Kesan tikaman tersebut sedalam tiga sentimeter. Saya juga cedera ringan pada tangan kiri akibat pergelutan tersebut dan terpaksa ditahan di wad selama satu hari," jelasnya.

Katanya, dia ditemani oleh anak-anaknya untuk membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian kira-kira pukul 11 malam pada hari kejadian.

Jelasnya, orang ramai yang berada ditempat kejadian sempat mencatat nombor pendaftaran kenderaan dinaiki kesemua suspek namun, pemeriksaan dilakukan mendapati ia adalah palsu.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment