Ibu nekad selamat anak

KOTA TINGGI – Seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang terperangkap di dalam biliknya nyaris maut sebelum berjaya diselamatkan si ibu yang sarat mengandung tujuh bulan pada kejadian kebakaran yang berlaku di Kg Tembioh melibatkan lima buah keluarga di sini malam semalam.

Norjian Bahruji, 5, yang ketika kejadian berada di dalam bilik pada bahagian tengah rumah neneknya itu diselamatkan ibunya, Nurin Diana Syakila Zamri, 20, sebelum api meranapkan kediaman mereka.

Menurut Nurin, ketika kejadian dia sedang memasak di dapur sebelum tiba-tiba terlihat api dan asap yang datangnya daripada bilik di rumahnya itu.

“Setelah terlihat api tersebut tanpa berfikir panjang saya terus bergegas menyelamatkan tiga orang anak dan berlari keluar rumah. Selepas itu barulah saya menyedari bahawa Norjian masih berada di dalam. Saya terus meluru masuk ke dalam menarik anak saya keluar.

“Kami juga tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang malah lebih menyedihkan barang persiapan yang baru dibeli untuk menyambut kelahiran anak turut terbakar dalam kejadian tersebut," katanya yang bersyukur kerana mereka anak beranak selamat walaupun dia sempat terjatuh ketika menyelamatkan Norjian,” katanya.

Sementara itu, bagi pasangan suami isteri Salimin Dona, 76, dan Roanah Ude, 70, mereka tidak menyangka bunyi bising di luar yang pada mulanya disangka pergaduhan rupa-rupanya adalah bunyi riuh rendah kebakaran di rumah jirannya.

“Ketika kejadian saya sedang menonton televisyen manakala suami sedang tidur di bilik. Selepas mendengar riuh rendah di luar saya terus mengejutkan suami melihat apa yang berlaku.

“Selepas terlihat api yang marak membakar rumah jiran, kami terus bergegas keluar menyelamatkan diri dan saya sempat meacapai beg pakaian sebelum keluar,” katanya.
Katanya, berikutan kejadian itu, dia bersama suami terpaksa bermalam di rumah anaknya yang terletak di Ulu Tiram kerana kediaman mereka turut musnah terbakar.

Mangsa lain, Norlisa Abdullah, 34, pula bersyukur kerana selamat walaupun bilik pada bahagian belakang rumahnya turut terbakar.

“Kami sekeluarga terpaksa bermalam di rumah kakak yang terletak di Taman Melati Putih dan walaupun kebakaran tersebut tidak seteruk empat buah rumah yang lain,” katanya.