RANTAU PANJANG –Seorang isteri rebah sebaik melihat mayat suaminya yang terlibat dalam kemalangan di Kampung Serai Lima, Lebuh Raya Rantau Panjang-Pasir Mas, kira-kira jam 8.50 pagi semalam.
Kereta jenis Persona dipandu mangsa dari Pasir Mas ke tempat kerja itu, terbabas dan terbalik sebelum tersekat pada sebatang pokok di laluan bertentangan.
Noraini Othman, 42, berkata, dia tidak menyangka suaminya maut kerana rakan yang pergi mengambilnya di Kampung Aur Duri memaklumkan dia terlibat dengan kemalangan.
Noraini berkata, sebaik sampai di tempat kejadian, dia benar-benar terkejut melihat sekujur tubuh suaminya yang kaku di tepi jalan sebaik dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat dari keretanya .

Menurutnya, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan pada hari-hari terakhir sebelum terlibat kemalangan.
“Pagi tadi, dia sempat menjamah sarapan mihun goreng bersama dengan ‘teh o’ yang saya sediakan sebelum ke tempat kerja kira-kira jam 8.30 pagi. Selalunya pun suami akan keluar pada waktu yang sama ke tempat kerja dan kemudiannya akan memeluk saya sebelum keluar,” katanya kepada Sinar Harian di tempat kejadian.

Noraini berkata, suaminya juga sempat meluahkan rasa sayang yang jarang dilakukan sebelum ini sebelum ke tempat kerja.

Menurutnya, dia tidak mengesyaki apa-apa di sebalik ungkapan tersebut sehinggalah sampai di tempat kejadian.
“Pa (suami )sayang sayang (panggilan untuk isteri), sangat- sangat,” itulah luahan suami sebelum keluar pagi tadi.
Biar pun agak terkejut dengan tragedi menimpa suaminya, namun Noraini redha dengan ketentuan Ilahi suaminya maut dalam kemalangan itu. Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan Balai Bomba Pasir Mas, Azuhan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian kira-kira jam 8.57 pagi.
Menurutnya, bomba bersama tujuh anggota ke tempat kejadian mengambil masa 40 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

“Sampai di tempat kejadian, kami dapati mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum mulakan kerja mengeluarkan mangsa.
Kejadian berlaku ketika hujan renyai dan pihak bomba berusaha keluarkan masa berikutan kereta tersekat pada pokok dan remuk teruk,” katanya.

Turut serta dalam operasi ini, empat anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Rantau Panjang diketuai Koperal Zuzilawati.